BRUSSELS : Gergasi minuman global Coca-Cola telah menarik balik beberapa produk yang dijual di beberapa negara Eropah selepas tahap klorat yang tinggi dikesan, lapor Agensi Anadolu (AA).

Agensi Persekutuan bagi Keselamatan Rantaian Makanan (FASFC) Belgium memaklumkan bahawa penarikan balik itu melibatkan produk yang dikeluarkan antara 23 Nov hingga 3 Dis, 2024.

Senarai minuman yang ditarik balik termasuk Coca-Cola, Fanta, Sprite, Fuze Tea, Nalu, Minute Maid, Tropico dan Royal Bliss dalam tin serta botol kaca dengan kod pengeluaran antara 328 GE hingga 338 GE.

Pengguna diberi amaran supaya tidak meminum produk itu dan memulangkannya ke tempat jualan.

Produk yang ditarik balik itu dihasilkan di kilang Coca-Cola di Ghent, Belgium.

Selain Belgium, produk berkenaan turut dihantar ke Belanda, United Kingdom, Jerman, Perancis dan Luxembourg.

Klorat terhasil apabila disinfektan berasaskan klorin digunakan dalam rawatan air dan pemprosesan makanan.

-- BERNAMA