ISTANBUL: Keadaan cuaca tidak menentu, daripada sejuk hingga ribut, melanda lima negara Arab, manakala salji dan gelombang sejuk di Iraq memaksa sekolah ditutup pada Isnin dan Selasa, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Oman, Qatar, Kuwait, Arab Saudi, Mesir dan Iraq mengalami cuaca sejuk dan tidak stabil, menurut kenyataan berasingan daripada jabatan meteorologi masing-masing.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Iraq, Amir al-Jabir, dalam satu kenyataan berkata, "Negara ini terjejas akibat jisim udara kutub, terutama selepas salji turun di beberapa kawasan barat dan utara."

"Gelombang sejuk ini dijangka berakhir pada Khamis depan," katanya seperti dipetik Agensi Berita Rasmi Iraq (INA).

Susulan keadaan cuaca itu, wilayah Salahuddin dan Nineveh memutuskan untuk menangguhkan sesi persekolahan pada Isnin dan melambatkan permulaan waktu bekerja bagi kakitangan kerajaan.

Wilayah Kirkuk turut mengumumkan penutupan sekolah pada Isnin dan Selasa susulan penurunan suhu, menurut INA.

Sementara itu, Anadolu melaporkan Jabatan Meteorologi Oman pada Ahad mengeluarkan amaran mengenai "kemungkinan kabus dan awan rendah terbentuk di beberapa kawasan, termasuk ibu negara Muscat, pada lewat malam dan awal pagi Isnin, yang boleh mengurangkan jarak penglihatan mendatar."

Jabatan Meteorologi Qatar pula pada Ahad melaporkan bahawa "awan berselerak dengan debu ringan dikesan di beberapa kawasan pada waktu tertentu, disertai cuaca agak sejuk pada waktu malam serta angin barat laut-timur laut yang aktif hingga kuat."

Jabatan Meteorologi Kuwait menyatakan pada Ahad bahawa "waktu malam akan sejuk hingga sangat sejuk, dengan keadaan langit separa hingga kebanyakannya berawan serta angin barat laut sederhana hingga kuat di kawasan pantai."

Dalam satu hantaran di platform X, jabatan itu meramalkan bahawa "suhu pada siang Isnin akan menurun dengan ketara, dengan cuaca separa berawan serta angin barat laut sederhana hingga kuat."

Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi pada Ahad mengeluarkan amaran mengenai ribut debu, angin kencang dan jarak penglihatan mendatar hampir sifar di beberapa wilayah termasuk Wilayah Timur dan kawasan sempadan utara.

Di Mesir, Pihak Berkuasa Meteorologi dalam satu kenyataan memberi amaran mengenai "gangguan navigasi maritim" pada Isnin di Laut Merah dan Teluk Suez, dengan ketinggian ombak dijangka mencecah 2.5 hingga 4 meter.

-- BERNAMA