MANILA: Datuk Bandar Zamboanga di selatan Filipina mengesahkan berlaku insiden tembakan di sebuah sekolah menengah pada Selasa yang mengorbankan dua pelajar, termasuk suspek penembak.
Datuk Bandar Khymer Adan Olaso berkata kedua-dua mangsa yang maut adalah pelajar dan salah seorang daripada mereka merupakan individu yang melepaskan tembakan dalam kejadian itu.
Insiden itu dilaporkan berlaku di kampus sekolah Ateneo de Zamboanga pada pagi Selasa, mencetuskan panik dalam kalangan pelajar dan kakitangan sekolah.
Rakaman video yang tular di media tempatan menunjukkan pelajar berlari keluar dari bangunan sekolah ketika kejadian berlaku.
Pihak polis dan pasukan forensik bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan, manakala pihak sekolah menggesa ibu bapa supaya bertenang dan mengambil anak masing-masing di kawasan yang telah ditetapkan.
Menurut laporan media tempatan, beberapa individu turut dilaporkan cedera, namun pihak berkuasa masih mengesahkan jumlah sebenar mangsa serta butiran lanjut mengenai kejadian itu.
Ketua Polis Bandar Zamboanga, Kolonel Fidel Fortaleza, berkata keadaan kini terkawal dan tiada lagi ancaman keselamatan di kawasan sekolah berkenaan.
Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan bagaimana suspek memperoleh senjata yang digunakan dalam insiden tersebut.