Skip to main content

Dunia

Dua petugas Lapangan Terbang Frankfurt maut akibat malaria

81680267287_TBnyamuk.jpg
Siasatan mengenai punca penularan sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Awam Frankfurt. - Gambar hiasan
Advertisement

FRANKFURT: Dua petugas Lapangan Terbang Frankfurt dilaporkan maut akibat malaria susulan satu kejadian luar biasa yang menyebabkan enam pekerja lapangan terbang itu dijangkiti penyakit berkenaan, dipercayai selepas nyamuk pembawa parasit terbabit dibawa masuk menerusi pesawat.

Pihak berkuasa kesihatan Jerman memaklumkan wabak itu mula dikesan pada Julai lalu, dengan siasatan awal menunjukkan nyamuk yang membawa malaria berkemungkinan tiba di lapangan terbang paling sibuk di Jerman itu melalui penerbangan antarabangsa.

Jurucakap pengendali lapangan terbang, Fraport, mengesahkan seorang pekerja meninggal dunia akibat jangkitan tersebut, manakala pihak berkuasa kesihatan awam Frankfurt kemudian memaklumkan bahawa dua daripada enam individu yang dijangkiti telah meninggal dunia.

Sebagai langkah pencegahan, perangkap nyamuk telah dipasang di seluruh kawasan lapangan terbang bagi membolehkan spesies nyamuk yang ditangkap dianalisis di makmal untuk mengenal pasti asal usulnya.

“Kami telah menyalurkan maklumat lengkap kepada semua pekerja dan menggalakkan mereka mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya mengalami sebarang gejala,” kata jurucakap Fraport.

Siasatan mengenai punca penularan sedang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Awam Frankfurt.

Menurut laporan, keenam-enam pekerja yang dijangkiti adalah lelaki dan bertugas dalam jawatan serta lokasi kerja yang berbeza di lapangan terbang berkenaan.

Pihak berkuasa kini menjalankan analisis sampel darah bagi menentukan sama ada jangkitan berpunca daripada seekor nyamuk atau beberapa nyamuk yang berbeza.

Dalam kenyataannya kepada media, pihak kesihatan Frankfurt menegaskan risiko kepada orang awam di bandar itu adalah sangat rendah kerana malaria tidak menular daripada seorang individu kepada individu lain.

“Penyakit ini hanya disebarkan melalui gigitan nyamuk,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, keputusan ujian makmal bagi mengenal pasti punca sebenar jangkitan dijangka hanya diperoleh dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Kes berkenaan sebelum ini dilaporkan membabitkan empat pekerja yang jatuh sakit antara 4 hingga 6 Julai lalu.

Institut Robert Koch, agensi penyelidikan dan kawalan penyakit Jerman, memaklumkan nyamuk yang membawa jangkitan dipercayai dibawa masuk melalui pesawat.

Institut itu menjelaskan kebanyakan kes malaria di Jerman biasanya melibatkan pengembara yang pernah mengunjungi kawasan endemik penyakit tersebut, manakala kes jangkitan yang berlaku di lapangan terbang dalam negara adalah amat jarang berlaku.

Menurut institut berkenaan, ketiadaan rekod perjalanan ke negara berisiko boleh menyebabkan diagnosis tertangguh, sekali gus meningkatkan kemungkinan pesakit mengalami komplikasi serius.

Kes terakhir malaria yang dikaitkan dengan lapangan terbang di Jerman turut dilaporkan di Lapangan Terbang Frankfurt pada 2023.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan malaria ialah penyakit yang disebabkan oleh parasit dan disebarkan melalui gigitan nyamuk tertentu, terutamanya di negara beriklim tropika.

Penyakit itu boleh dicegah dan dirawat, namun gejalanya boleh menjadi serius serta mengancam nyawa jika tidak dikesan dan dirawat dengan segera.

 

Must Watch Video

Advertisement