Skip to main content

Dunia

Empat pekerja maut dirempuh kereta api di Jepun

Four killed by express train in Japan -- REUTERS
Tiada penumpang dilaporkan cedera dalam kejadian itu walaupun kira-kira 50 orang berada di dalam kereta api berkenaan ketika kemalangan berlaku. -Foto Reuters
Advertisement

TOKYO: Empat pekerja penyelenggaraan maut selepas dirempuh sebuah kereta api ekspres terhad di Jepun pada Khamis, dalam satu insiden yang jarang berlaku di negara yang terkenal dengan rekod keselamatan rel yang tinggi.

Menurut laporan media tempatan, mangsa ketika itu sedang menjalankan kerja-kerja membersihkan rumpai di sekitar landasan berhampiran Stesen Shin-Kanuma di bandar Kanuma, wilayah Tochigi, utara Tokyo.

Seorang pegawai jabatan bomba mengesahkan kepada AFP bahawa keempat-empat mangsa disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat dirempuh kereta api tersebut.

Menurut pasukan penyelamat, tiga daripada mangsa ditemukan di bawah kereta api manakala seorang lagi ditemukan di platform stesen.

Kesemua mereka berada dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika pasukan kecemasan tiba di lokasi.

Jiji Press melaporkan kesemua mangsa merupakan lelaki tempatan berusia antara 50 hingga 60 tahun yang bekerja dengan syarikat kontraktor penyelenggaraan landasan.

Tiada penumpang dilaporkan cedera dalam kejadian itu walaupun kira-kira 50 orang berada di dalam kereta api berkenaan ketika kemalangan berlaku.

Kereta api yang terlibat ialah Spacia X, sebuah perkhidmatan ekspres terhad enam gerabak di Laluan Tobu Nikko yang menghubungkan kawasan Greater Tokyo dengan destinasi pelancongan popular Nikko di wilayah Tochigi.

NHK melaporkan kereta api yang menuju ke Tokyo itu sedang menghampiri Stesen Shin-Kanuma untuk berhenti mengikut jadual apabila kemalangan tersebut berlaku.

Media tempatan turut melaporkan mangsa merupakan sebahagian daripada kru seramai tujuh orang yang ditugaskan membersihkan rumpai di kawasan landasan ketika kejadian.

Must Watch Video

Advertisement