BRUSSELS: Bermula Isnin, serbuk serangga yang diproses menggunakan sinaran ultraungu (UV), khususnya serbuk larva kumbang tepung (Tenebrio molitor), akan dibenarkan untuk digunakan dalam makanan di seluruh Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Walaupun kumbang tepung telah pun diluluskan sebagai makanan, kebenaran baharu ini merangkumi rawatan UV yang bertujuan meningkatkan kandungan vitamin D dalam serbuk berkenaan.

Di bawah peraturan baharu ini, hanya sebuah syarikat dari Perancis yang akan dibenarkan memasarkan larva yang telah diproses itu pada peringkat awal.

Bagaimanapun, tahap keraguan dalam kalangan pengguna masih tinggi.

EU telah membenarkan penggunaan serangga dalam makanan sejak beberapa tahun lepas, namun pengeluar perlu memohon kebenaran terlebih dahulu. Sekiranya serangga digunakan sebagai ramuan, ia mesti dinyatakan dengan jelas pada bungkusan produk.

"Penduduk EU bebas memilih apa yang mereka mahu makan, dan tiada siapa yang dipaksa untuk makan serangga atau ulat," menurut Suruhanjaya Eropah.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa penilaian saintifik yang ketat dijalankan sebelum sesuatu produk diluluskan bagi memastikan keselamatan pengguna.

Meskipun ketersediaannya semakin meningkat, ramai pengguna masih ragu-ragu untuk memakan serangga. Satu tinjauan dalam talian yang dijalankan bagi pihak pengeluar makanan dan makanan haiwan, Heristo AG, mendapati bahawa golongan lebih berusia khususnya mempunyai keengganan yang tinggi.

Serangga secara meluas diiktiraf sebagai sumber makanan yang kaya dengan nutrien dan protein serta menjadi sebahagian daripada diet tradisional di banyak negara.

Disebabkan kecekapan penggunaan sumbernya, serangga juga dianggap sebagai alternatif lestari kepada penternakan konvensional. Namun, ia mungkin menimbulkan risiko alahan kepada sesetengah individu.

-- BERNAMA