Skip to main content

Dunia

EU tangguh peraturan media sosial bagi kanak-kanak, utamakan pendekatan seluruh blok

Keputusan itu bertujuan memastikan perlindungan yang konsisten bagi golongan bawah umur di semua negara anggota EU menerusi peraturan yang diselaraskan. - Gambar hiasan
Keputusan itu bertujuan memastikan perlindungan yang konsisten bagi golongan bawah umur di semua negara anggota EU menerusi peraturan yang diselaraskan. - Gambar hiasan

Advertisement

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah memutuskan untuk menangguhkan selama 12 bulan draf undang-undang di peringkat negara yang bertindih dengan cadangan peraturan Kesatuan Eropah (EU) mengenai akses kanak-kanak kepada media sosial, kata seorang jurucakap pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Keputusan itu bertujuan memastikan perlindungan yang konsisten bagi golongan bawah umur di semua negara anggota EU menerusi peraturan yang diselaraskan, kata Thomas Regnier kepada pemberita di Brussels.

“Kami mempunyai cadangan yang sangat jelas yang kami kemukakan, iaitu memperkenalkan pendekatan berperingkat serta kewajipan keselamatan melalui reka bentuk bagi semua perkhidmatan dalam talian,” katanya, merujuk kepada cadangan Akta Kanak-Kanak EU.

Beliau berkata suruhanjaya itu memutuskan untuk menangguhkan selama 12 bulan draf perundangan negara yang bertindih dengan peraturan EU yang bakal diperkenalkan.

Langkah itu bertujuan mengelakkan perbezaan had umur dan keperluan kawal selia antara negara daripada mewujudkan pasaran dalaman yang berpecah-pecah, sekali gus menyukarkan platform dalam talian mematuhi peraturan di seluruh blok yang dianggotai 27 negara itu, katanya.

“Cadangan kami menyelaraskan peraturan bagi memastikan semua kanak-kanak di seluruh EU menerima tahap perlindungan yang sama kerana masalah di peringkat Eropah memerlukan tindak balas Eropah yang bersatu,” kata Regnier.

Ketika ditanya sama ada keputusan itu turut memberi kesan kepada negara anggota lain yang telah memaklumkan suruhanjaya mengenai perundangan masing-masing, Regnier berkata proses berkaitan undang-undang itu masih berjalan, namun tidak akan mengubah pendirian suruhanjaya yang menolak pemecahan peraturan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa terdapat perbezaan dari segi undang-undang dan prosedur antara inisiatif negara, dengan memetik Perancis dan Greece sebagai contoh.

Menurut Regnier, Perancis dan Greece memaklumkan perundangan masing-masing sebelum suruhanjaya mengemukakan cadangannya sendiri dan tempoh penangguhan mandatori yang berkaitan telah pun tamat. Keadaan itu membezakan kes kedua-dua negara berkenaan daripada Austria serta pemberitahuan yang dikemukakan oleh negara anggota lain selepas itu.

Bulan lepas, suruhanjaya mencadangkan pendekatan berperingkat untuk mengehadkan akses kanak-kanak kepada media sosial, termasuk larangan bagi kanak-kanak bawah 13 tahun dan akses terhad bagi mereka yang berusia bawah 15 tahun di bawah pengawasan ibu bapa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement