MEXICO CITY: Gangguan meluas bekalan elektrik melanda Chile pada Selasa, menyebabkan 19 juta penduduk terputus bekalan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menteri Dalam Negeri Carolina Toha menyeru orang ramai agar bertenang, dengan menjelaskan bahawa gangguan itu bukan disebabkan serangan, sebaliknya berpunca daripada pemberhentian dalam sistem penghantaran di Wilayah Norte Chico.

"Saya menyeru supaya bertenang dan memahami bahawa ini adalah kegagalan sistem, bahawa kita bukan menjadi sasaran serangan, dan perkhidmatan dijangka dipulihkan dengan segera," katanya.

Menerusi media sosial, Pengarah Eksekutif Penyelaras Elektrik Kebangsaan Ernesto Huber mengesahkan punca gangguan sebagai kerosakan pada grid elektrik di Norte Chico dan memaklumkan usaha sedang dijalankan untuk memulihkan bekalan.

"Pemutusan litar dua hala 500 kV di kawasan Norte Chico, khususnya antara stesen jana kuasa Vallenar dan Coquimbo, telah menyebabkan gangguan dalam sistem elektrik kebangsaan dari Arica hingga Wilayah Los Lagos, mengakibatkan kehilangan bekalan sepenuhnya dalam sistem elektrik negara," katanya.

Gangguan itu berlaku ketika Chile sedang mengalami gelombang haba, dan di beberapa bandar kecil seperti Lo Barnechea, Talagante serta La Florida, pihak berkuasa segera menyediakan bekalan air minuman.

Selepas gangguan berlaku, perkhidmatan kereta api bawah tanah segera dikosongkan, sementara lampu isyarat yang terpadam menyebabkan kesesakan lalu lintas di bandar-bandar utama. Satu flit bas elektrik turut dikerahkan bagi membantu pergerakan dalam bandar.

-- BERNAMA