JAKARTA: Mayat seorang wanita dijumpai dalam keadaan mengerikan, dengan tubuhnya dikerat-kerat dan dimasukkan ke dalam bagasi berwarna merah dalam kejadian menyayat hati baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Mayat seorang wanita, Uswatun Khasanah, 29, ditemukan dalam keadaan dikerat-kerat dan dimasukkan ke dalam bagasi merah di Kediri, Jawa Timur.
  • Suspek, Rochmat Tri Hartanto (Antok), yang mengaku sebagai "suami siri" mangsa, didakwa membunuh dan memutilasi mangsa kerana cemburu.
  • Antok ditangkap pada 25 Januari 2025 dan kini berdepan tuduhan membunuh dan mutilasi.


Mangsa yang dikenali sebagai Uswatun Khasanah, 29, dipercayai dibunuh orang yang dikenalinya di sebuah hotel di Kediri, Jawa Timur, Indonesia pada 19 Januari lalu.

Menurut laporan media tempatan, Uswatun Khasanah telah menginap di hotel tersebut bersama seorang lelaki bernama Rochmat Tri Hartanto, yang dikenali sebagai Antok.

Antok, yang mengaku sebagai "suami siri" Uswatun, didakwa membunuh dan memutilasi mangsa kerana cemburu dan sakit hati setelah menuduh mangsa membawa lelaki lain ke kediamannya.

Menurut pihak berkuasa, pembunuhan Uswatun Khasanah dipercayai dirancang teliti oleh Antok. Suspek didakwa menggunakan pisau untuk memotong sendi tubuh Uswatun selama lima jam.

Selepas membunuh mangsa, Antok memasukkan jasad Uswatun Khasanah ke dalam bagasi merah dan meninggalkan hotel pada awal pagi.

Keratan tubuh Uswatun Khasanah kemudiannya ditemukan di beberapa lokasi berbeza. Kepala mangsa ditemukan di Trenggalek, manakala kaki mangsa pula dijumpai di Ponorogo.

Tubuh mangsa yang lain ditemukan dalam bagasi merah di kawasan Desa Dadapan, Kecamatan Kendal, Kabupaten Ngawi.

Polis berjaya menahan Antok pada Sabtu lalu. Dia ditangkap di rumahnya dan mengaku melakukan pembunuhan tersebut.

Antok, yang juga ketua ranting salah satu perguruan silat di Tulungagung, kini berdepan tuduhan membunuh dan mutilasi.

Sementara itu, jenazah Uswatun Khasanah selamat dikebumikan pada Jumaat dalam suasana penuh hiba di kampung halamannya di Blitar.

Allahyarham Uswatun Khasanah meninggalkan seorang anak lelaki berusia 10 tahun dan anak perempuan berusia 7 tahun.

Kedua-dua anaknya kini tinggal bersama nenek mereka di Blitar dan sedang menerima bantuan psikologi.