Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan bahawa Bilik Gerakan Kerajaan dalam satu kenyataan menyatakan sekatan yang berlarutan itu memburukkan lagi penderitaan lebih dua juta rakyat Palestin dan mempercepatkan keruntuhan perkhidmatan penting dan keadaan hidup asas.
Menurut Bilik Gerakan Kerajaan, sekatan itu telah memutuskan akses kepada bekalan kritikal, termasuk makanan, ubat-ubatan dan bahan api, sekali gus membahayakan nyawa ribuan pesakit, terutamanya mereka di unit rawatan rapi dan inkubator bayi.
Kekurangan bahan api telah melumpuhkan operasi hospital, pam air dan perkhidmatan perubatan kecemasan, menyebabkan sistem ambulans lumpuh serta menjejaskan usaha bantuan kemanusiaan secara serius.
"Dalam masa yang sama, sekatan ke atas penghantaran bantuan telah mencetuskan krisis perumahan dan tempat perlindungan yang teruk, dengan ratusan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal dibiarkan tanpa tempat tinggal mencukupi selepas kehilangan rumah mereka akibat kemusnahan yang meluas.
"Ketiadaan khemah dan tempat perlindungan sementara telah menambah penderitaan mereka, mendedahkan mereka kepada keadaan yang lebih teruk," menurut Bilik Gerakan Kerajaan.
Bilik Gerakan Kerajaan menyatakan bahawa sekatan itu turut menghalang usaha pembersihan runtuhan dan pembinaan semula, menyebabkan situasi pemindahan penduduk berpanjangan dan krisis semakin mendalam.
"Ribuan keluarga kekal tanpa tempat tinggal dalam keadaan cuaca ekstrem, dinafikan keperluan asas untuk kehidupan yang bermaruah. Penafian sistematik terhadap tempat tinggal, bahan api, makanan dan ubat-ubatan ini merupakan pelanggaran nyata terhadap semua undang-undang antarabangsa, konvensyen serta hak asasi manusia, termasuk hak untuk hidup dan maruah manusia," katanya.
Sehubungan itu,Bilik Gerakan Kerajaan bagi Intervensi Kecemasan di Wilayah Selatan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah serta semua organisasi hak asasi manusia dan kemanusiaan berkaitan supaya tidak terus berdiam diri dan mengambil tindakan segera serta tegas.
"Kemasukan bantuan kemanusiaan yang segera dan tanpa halangan mesti dipastikan, dan tekanan antarabangsa yang bersepadu diperlukan untuk segera membuka semua lintasan sempadan serta menamatkan dasar hukuman kolektif yang secara tidak seimbang menjejaskan orang awam yang tidak bersalah, khususnya kanak-kanak, wanita dan warga emas.
"Gaza berada di ambang kebuluran dan kehancuran sepenuhnya, dan rakyat kami tidak akan menerima keadaan di mana mereka dijadikan tebusan kepada dasar menindas yang menyasarkan kewujudan mereka serta cuba untuk melucutkan hak asasi mereka, termasuk hak untuk hidup dengan bermaruah.
"Kami menegaskan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk menggerakkan semua usaha untuk menghadapi malapetaka ini, sambil meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas masyarakat antarabangsa atas sebarang kegagalan bertindak pantas menyelamatkan nyawa orang awam," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
