GRANADA: Kompleks istana bersejarah Alhambra di Granada ditutup pada Selasa sebagai langkah berjaga-jaga selepas gempa bumi berukuran 4.8 magnitud menyebabkan serpihan bangunan jatuh dan mencederakan tiga individu di bandar selatan Sepanyol itu.
Menurut Institut Geografi Kebangsaan Sepanyol, gempa tersebut berlaku kira-kira jam 10.38 pagi waktu tempatan dengan pusat gempa terletak di bandar Alhendin, kira-kira 10 kilometer di selatan Granada.
Ia merupakan gempa paling kuat dalam siri gegaran yang melanda wilayah selatan negara itu pada pagi Selasa, menyebabkan penduduk panik dan bergegas keluar dari bangunan ke jalan raya.
Kompleks Alhambra yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan merupakan antara contoh seni bina Islam zaman pertengahan paling penting di dunia itu ditutup sepanjang hari bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Pegawai tertinggi kecemasan wilayah Andalusia, Antonio Sanz berkata, pemeriksaan awal mendapati tiada kerosakan struktur besar atau risiko runtuhan pada kompleks berkenaan.
Namun, katanya, beberapa kerosakan kecil dikesan pada unsur bukan struktur termasuk benteng, kerja plaster serta elemen hiasan.
“Perkara ini perlu diberi perhatian dari aspek keselamatan pelawat, namun tidak menimbulkan ancaman terhadap warisan bersejarah yang sangat bernilai ini,” katanya dalam sidang media pada sebelah petang.
Perkhidmatan kecemasan memaklumkan lebih 500 panggilan diterima di Granada berkaitan retakan bangunan, serpihan yang jatuh dan insiden lain akibat gempa bumi. Daripada jumlah itu, kira-kira 12 panggilan melibatkan permintaan bantuan perubatan, kebanyakannya berkaitan serangan panik dan kebimbangan.
Tiga individu dilaporkan mengalami kecederaan ringan, termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sanz turut menegaskan tiada kerosakan struktur serius pada kediaman penduduk, dengan kebanyakan bangunan berjaya menahan gegaran tersebut.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan serpihan bertaburan di jalan raya, termasuk di kawasan bersejarah berhampiran Alhambra, selain beberapa kenderaan mengalami kerosakan.
Penduduk panik
Seorang pekerja makmal, Cristina Ruiz Lopez, menggambarkan detik gempa itu sebagai amat menakutkan.
“Segalanya seperti runtuh sekaligus. Ia sangat menggerunkan,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Sementara itu, pekerja sosial di bandar La Zubia, Toni Quinones melaporkan beberapa cerobong rumah runtuh sehingga menyebabkan kerosakan lebih serius.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa bandar Granada menutup semua bangunan milik majlis perbandaran kecuali yang menyediakan perkhidmatan kecemasan dan keperluan asas.
Sehubungan itu, Datuk Bandar Granada, Marifran Carazo menggesa penduduk supaya kekal berada di rumah dan mengelakkan diri daripada berdiri berhampiran bangunan sekiranya berlaku gegaran susulan.
“Saya memahami kebimbangan yang dirasai pagi ini, terutama dalam kalangan warga emas dan kanak-kanak yang tidak pernah berdepan situasi seperti ini,” katanya.
Gempa terbaharu itu berlaku hanya beberapa hari selepas satu lagi gempa berukuran 5.0 magnitud menggegarkan Granada pada awal pagi Sabtu lalu, yang disifatkan pihak berkuasa sebagai gegaran paling kuat pernah direkodkan di Andalusia sejak 1955.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian Sabtu itu, namun beberapa bangunan mengalami kerosakan. - Agensi