Skip to main content

Dunia

Grossi harap keputusan pantas putuskan ketua PBB baharu

Rafael Grossi berkata lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto memikul tanggungjawab khas dalam proses pemilihan berkenaan. - Gambar fail
Rafael Grossi berkata lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto memikul tanggungjawab khas dalam proses pemilihan berkenaan. - Gambar fail

Advertisement

NEW YORK: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Rafael Grossi memberitahu RIA Novosti bahawa beliau berharap keputusan mengenai calon Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang baharu dapat dicapai secara relatifnya pantas dan tidak menganggap proses pemilihan itu terlalu panjang setakat ini.

"Saya tidak melihat proses itu - sekurang-kurangnya sehingga ke titik ini - sebagai terlalu panjang, kami berharap keputusan dapat dicapai secara relatifnya pantas," kata Grossi.

Beliau berkata lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto memikul tanggungjawab khas dalam proses pemilihan berkenaan. Selain itu, 10 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan yang mewakili pelbagai negara turut mengambil bahagian dalam proses itu.

Grossi berkata adalah sukar untuk menilai kemajuan rundingan itu kerana ia dijalankan secara tertutup.

"Jika anda masih ingat kali terakhir, ia berlaku sekitar waktu ini, awal musim luruh, Oktober. Jadi, kami berharap ia tidak akan mengambil masa yang terlalu lama," katanya.

Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD) Rebeca Grynspan menerima undi sokongan tertinggi dalam undian tidak rasmi  keempat, menurut sumber kepada RIA Novosti.

Setakat ini terdapat tujuh calon bagi jawatan tertinggi PBB itu. Selain Grynspan dan Grossi, bekas Presiden Senegal Macky Sall, bekas Menteri Luar Ecuador Maria Fernanda Espinosa, diplomat Ecuador Ivonne A-Baki, bekas Menteri Luar Uganda Olara Otunnu dan bekas Menteri Luar Guyana Carolyn Rodrigues-Birkett turut bertanding untuk jawatan berkenaan.

Penggal kedua dan terakhir Setiausaha Agung semasa Antonio Guterres bakal berakhir pada 31 Disember.

--BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video

Advertisement