Arahan itu, dikenali sebagai Memorandum M-25-13, bertujuan menghentikan semua geran, pinjaman serta bantuan kewangan persekutuan di bawah peruntukan sedia ada sementara agensi menilai pematuhan terhadap perintah eksekutif terkini.
Pembekuan itu, yang pertama kali dikeluarkan pada 27 Jan, menyasarkan program berkaitan bantuan luar, pertubuhan bukan kerajaan, inisiatif kepelbagaian dan keterangkuman serta usaha mengenai alam sekitar.
Gabungan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan berhujah bahawa langkah itu akan memberikan kesan yang tidak dapat dipulihkan kepada organisasi yang menyediakan perkhidmatan penting.
Dalam keputusannya, Hakim Loren AliKhan berkata: "Secara keseluruhannya, plaintif telah mengemukakan bukti kukuh bahawa pembekuan dana ini akan membawa kesan ekonomi yang amat buruk - dan dalam beberapa keadaan, boleh membawa maut - kepada anggota mereka."
Beliau mengarahkan OMB untuk mengeluarkan notis bertulis kepada semua agensi berkaitan, mengarahkan mereka supaya menyambung semula pengagihan di bawah award terbuka dan tidak melaksanakan semula pembekuan itu dalam sebarang bentuk.
Hakim turut menetapkan agar pihak defendan mengemukakan laporan status menjelang Jumaat bagi memperincikan pematuhan terhadap injunksi berkenaan. Kedua-dua pihak juga dikehendaki mengemukakan laporan status bersama mengenai cadangan langkah seterusnya dalam kes berkenaan pada tarikh sama.
Injunksi ini dibuat susulan perintah sekatan sementara yang dikeluarkan pada 3 Feb bagi menghalang pembekuan itu. Plaintif berhujah bahawa langkah itu akan mengganggu perkhidmatan menyelamatkan nyawa serta menjejaskan komuniti yang bergantung pada pembiayaan persekutuan. - BERNAMA
