GAZA CITY: Kumpulan Palestin Hamas, menyerahkan empat tentera wanita Israel pada Sabtu di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan dengan Israel, lapor Agensi Anadolu.

Keempat-empat tentera yang dibebaskan itu, memakai pakaian seragam tentera Israel, tersenyum dan melambai di atas pentas di Dataran Palestin di Gaza City ketika mereka diserahkan kepada wakil Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Tentera Israel mengesahkan bahawa keempat-empat tentera yang dibebaskan itu telah diserahkan kepada pasukannya di Gaza sebelum dipindahkan ke Israel.

Semasa proses penyerahan, wakil ICRC dibawa naik ke pentas untuk menandatangani dokumen sebelum pembebasan keempat-empat tentera tersebut.

Beribu-ribu rakyat Palestin berkumpul di Dataran Palestin untuk menyaksikan majlis penyerahan empat tentera Israel itu.

Empat warga Israel yang namanya diserahkan oleh Hamas pada Jumaat, ialah Liri Albag, 19, Daniella Gilboa, 20, Karina Ariev, 20, dan Naama Levy, 20. Mereka adalah anggota unit pengawasan tentera Israel di pangkalan Nahal Oz.

Sebanyak 200 tahanan Palestin dijangka dibebaskan sebagai pertukaran bagi empat tentera Israel itu.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza selama enam minggu telah berkuat kuasa pada 19 Jan, menggantung perang genosid Israel yang telah membunuh hampir 47,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,400 orang sejak 7 Okt 2023.

Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan ketenangan yang berterusan, dengan matlamat mencapai genjatan senjata kekal serta pengunduran tentera Israel dari Gaza.

Serangan Israel itu telah menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, dengan kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas dan kanak-kanak dalam satu daripada bencana kemanusiaan global terburuk yang pernah berlaku.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lalu terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas perang di wilayah itu.

-- BERNAMA