Kesemua tebusan itu merupakan lelaki yang diculik di Kibbutz Nir Oz, salah satu komuniti di sekitar Semenanjung Gaza yang diserang oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober 2023.
Ketiga-tiga tebusan itu adalah Iair Horn, warganegara Amerika Syarikat (AS), Sagui Dekel-Chen (Israel) dan warganegara Rusia-Israel Alexandre Sasha Troufanov.
Hamas menyatakan bahawa Israel dijangka membebaskan 369 tahanan dan banduan Palestin sebagai pertukaran.
Pengumuman oleh Hamas ini dibuat selepas beberapa hari ketidaktentuan mengenai sama ada gencatan senjata selama 42 hari yang dipersetujui bulan lalu akan bertahan.
Ia juga menyusuli usaha gigih oleh Mesir dan Qatar sebagai perantara bagi memastikan perjanjian yang disokong AS itu terus berjalan.
Namun, respons Israel terhadap pengumuman ini masih tidak jelas.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada awalnya menyatakan bahawa Israel menerima senarai tebusan yang akan dibebaskan sebelum mengeluarkan kenyataan yang dikemas kini bahawa mereka hanya "menerima" senarai tersebut.
Menurut kenyataan itu, kenyataan dikeluarkan hanyalah satu penerangan fakta dan tidak mencerminkan sebarang komen rasmi dari pihak Israel.
Sebelum ini, Hamas mengancam untuk tidak meneruskan pembebasan tebusan selepas menuduh Israel melanggar syarat gencatan senjata dengan menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Israel pula memberi amaran akan menyambung semula serangan jika Hamas tidak mematuhi perjanjian yang dipersetujui.
Ketegangan meningkat lagi apabila rakyat Israel marah dengan keadaan fizikal yang lemah bagi tiga tebusan yang dibebaskan minggu lalu serta cara mereka dipertontonkan kepada orang ramai di Gaza sebelum diserahkan kepada pegawai Palang Merah.
Sebagai persediaan untuk kemungkinan pertempuran disambung semula, tentera Israel telah memanggil unit simpanan dan meningkatkan tahap berjaga-jaga di sekitar Semenanjung Gaza.
Presiden AS, Donald Trump turut memberikan kenyataan kontroversi dengan menyatakan bahawa gencatan senjata sepatutnya dibatalkan dan Israel harus melancarkan serangan penuh sekiranya semua tebusan tidak dibebaskan pada Sabtu.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/71728293049_freesize.jpg)