TEHRAN: Pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei pada Sabtu mendakwa Amerika Syarikat (AS) menggunakan taktik 'membuli' bagi memastikan Republik Islam itu tunduk kepadanya.

Kenyataan itu menyusul sehari selepas Presiden Donald Trump mendakwa beliau telah menghantar surat kepada pemimpin tertinggi negara itu bagi merundingkan perjanjian nuklear.

Menerusi ucapannya di Tehran, Khamenei menyatakan tawaran Wwashington untuk berunding bertujuan mendominasi Iran dan bukan menyelesaikan masalah.

"Isunya bukan sekadar mengenai nuklear seperti yang mereka bangkitkan sekarang.

"Mereka akan mengemukakan tuntutan baharu dan tuntutan ini sudah pasti tidak akan dipenuhi oleh Iran termasuk mengenai keupayaan pertahanan negara serta pengaruh Iran di peringkat antarabangsa," kata beliau.

Walaupun Trump sebelum ini menyatakan keterbukaan untuk mencapai perjanjian dengan Tehran, beliau telah mengembalikan kempen "tekanan maksimum" yang pernah dilaksanakan semasa penggal pertamanya di White House.

Kempen itu bertujuan mengasingkan Iran daripada ekonomi global serta menyekat eksport minyak negara tersebut sepenuhnya.

Ketika memegang jawatan presiden dari 2017 hingga 2021, Trump telah menarik AS keluar daripada perjanjian penting antara Iran dan kuasa besar dunia yang mengenakan syarat ketat terhadap aktiviti nuklear Tehran sebagai pertukaran kepada pelonggaran sekatan.

Selepas menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018 dan mengenakan semula sekatan, Iran bertindak melanggar serta melepasi had yang ditetapkan dalam perjanjian berkenaan.

Tehran bagaimanapun menegaskan program nuklearnya adalah semata-mata untuk tujuan keamanan.