Skip to main content

Dunia

Harga makanan global catat paras tertinggi dalam empat tahun pada September - FAO

Penanda aras FAO bagi harga bijirin, gula dan minyak sayuran semuanya meningkat bulan lepas, manakala harga daging dan produk tenusu menurun. - Gambar hiasan
Penanda aras FAO bagi harga bijirin, gula dan minyak sayuran semuanya meningkat bulan lepas, manakala harga daging dan produk tenusu menurun. - Gambar hiasan

Advertisement

ROM: Harga makanan global meningkat pada September ke paras tertinggi dalam hampir empat tahun berikutan gangguan logistik dan kebimbangan terhadap keadaan cuaca, menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO), lapor Xinhua.

Indeks Harga Makanan FAO mencatat purata 136.0 mata pada September, meningkat daripada 134.0 mata yang disemak semula pada Ogos dan merupakan paras tertinggi sejak November 2022.

Penanda aras FAO bagi harga bijirin, gula dan minyak sayuran semuanya meningkat bulan lepas, manakala harga daging dan produk tenusu menurun.

Ketua Ahli Ekonomi FAO Maximo Torero berkata gangguan di Selat Hormuz dan Laut Hitam diburukkan  dengan kejutan iklim, memberi tekanan terhadap tenaga, pengangkutan dan komoditi makanan utama.

Sekiranya tekanan itu berterusan, ia akhirnya boleh menyebabkan kenaikan harga makanan kepada pengguna, khususnya di negara yang bergantung kepada import makanan dan tenaga, kata Torero.

Menurut FAO, kebimbangan terhadap corak cuaca El Nino yang teruk mendorong harga gula antarabangsa ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan manakala gangguan perdagangan di Laut Hitam susulan konflik menyebabkan kontrak niaga hadapan gandum mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun pada awal September.

FAO mengunjurkan pengeluaran bijirin global pada 2026 sebanyak 2.979 bilion tan secara amnya tidak berubah berbanding unjuran sebelumnya. Angka itu 2.1 peratus lebih rendah daripada paras 2025, namun masih merupakan pengeluaran kedua tertinggi dalam rekod.

Ia turut menurunkan unjuran perdagangan bijirin global bagi 2026/27 sebanyak 0.7 peratus daripada September, berikutan jangkaan lebih rendah terhadap eksport gandum dan jagung susulan laluan perkapalan yang terjejas di Laut Hitam.

 --BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement