Daripada jumlah kandungan yang diturunkan, sebanyak 233,552 kandungan berkaitan pornografi, dengan laman sesawang menyumbang 219,578 kes, Platform X (dahulunya Twitter) sebanyak 10,173 kes, manakala baki 3,801 kes dikaitkan dengan platform lain.
Bagi perjudian dalam talian, sebanyak 1.12 juta kandungan telah diturunkan, dengan laman sesawang dan alamat IP bertanggungjawab untuk 1.02 juta kes, diikuti oleh Meta (Facebook dan Instagram) dengan 46,207 kes dan baki 55,368 kes daripada pelbagai platform lain, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Ketua Pengarah Pengawasan Ruang Digital kementerian itu, Alexander Sabar, menegaskan bahawa walaupun kemajuan ketara telah dicapai, angka berkenaan menunjukkan cabaran berterusan yang ditimbulkan oleh laman sesawang dan platform media sosial dalam mengawal kandungan dalam talian yang berbahaya.
Di sebalik kemajuan itu, beliau menyatakan bahawa penyebaran kandungan negatif kekal menjadi kebimbangan utama, sambil menekankan bahawa dalam tempoh lapan hari pertama Mac 2025 sahaja, lebih 58,000 kandungan berbahaya telah ditangani.
"Ini menunjukkan bahawa cabaran masih wujud, dan penglibatan orang ramai kekal penting dalam memastikan tindakan balas yang pantas," katanya.
Kementerian Komunikasi dan Digital juga merancang untuk meningkatkan sistem pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan pengesanan kandungan berbahaya serta menyelaraskan dengan platform digital global untuk meningkatkan kecekapan tindakan penguatkuasaan.
Orang ramai digalakkan untuk terus melaporkan kandungan berbahaya melalui saluran rasmi, https://aduankonten.id, di mana mereka boleh melaporkan pelbagai jenis kandungan negatif seperti berita palsu, pornografi, ucapan kebencian dan perjudian.
"Setiap laporan memberi impak besar dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan sihat," tambah Alexander.
Aduankonten.id membolehkan pengguna melaporkan kandungan berbahaya dengan menghantar pautan atau tangkap layar, bersama-sama dengan sebab kebimbangan mereka. Semua laporan disahkan dan diambil tindakan susulan oleh pasukan kementerian.
-- BERNAMA
