JERUSALEM: Israel telah memutuskan bekalan elektrik ke Gaza, menurut pegawai pada Ahad, sekali gus menjejaskan sebuah loji penyahgaraman yang menghasilkan air minuman untuk sebahagian kawasan tersebut.
Kekejaman Israel itu disifatkan Hamas sebagai sebahagian daripada "dasar kebuluran" Israel.

Minggu lalu, Israel menggantung bekalan barangan ke wilayah yang menempatkan lebih dua juta rakyat Palestin, mengulangi sekatan yang dikenakan pada hari-hari awal perang.

Israel sedang memberi tekanan ke atas kumpulan pejuang itu untuk menerima lanjutan bagi fasa pertama gencatan senjata mereka, yang telah berakhir hujung minggu lalu.


Israel juga mahu Hamas membebaskan separuh daripada baki tebusan sebagai balasan untuk janji rundingan bagi gencatan senjata yang berkekalan.

Sebaliknya, Hamas mahu memulakan rundingan bagi fasa kedua gencatan senjata yang lebih mencabar, melibatkan pembebasan semua baki tebusan di Gaza, pengunduran tentera Israel dan keamanan jangka panjang.

Pasukan pejuang Palestin itu juga dipercayai masih menahan 24 tebusan yang masih hidup dan mayat 35 yang lain.

Kumpulan itu yang telah memberi amaran bahawa penghentian bekalan akan memberi kesan kepada tebusan menegaskan pada Ahad, rundingan gencatan senjata dengan perantara Mesir telah berakhir tanpa perubahan dalam pendiriannya.

Israel telah menyatakan akan menghantar delegasi ke Qatar pada Isnin untuk cuba "memajukan" rundingan.
Israel sebelum ini telah memberi amaran bahawa selepas menghentikan semua bekalan, air dan elektrik mungkin menjadi sasaran seterusnya.

Surat daripada Menteri Tenaga Israel kepada Perbadanan Elektrik Israel mengarahkan supaya bekalan elektrik ke Gaza dihentikan.

Wilayah Gaza dan infrastrukturnya telah mengalami kemusnahan besar dengan kebanyakan fasiliti termasuk hospital, kini bergantung kepada generator.

Jurucakap Hamas, Hazem Qassam berkata, Israel "pada dasarnya" telah memutuskan bekalan elektrik sejak perang bermula dan menyifatkan keputusan terbaharu ini sebagai sebahagian daripada "dasar kebuluran" Israel yang jelas mengabaikan semua undang-undang dan norma antarabangsa.

Loji penyahgaraman tersebut sebelum ini membekalkan 18,000 meter padu air sehari ke kawasan Deir Al-Balah di Gaza tengah, menurut Gisha, sebuah organisasi Israel yang memperjuangkan hak rakyat Palestin untuk kebebasan bergerak.

Pengarah Eksekutifnya, Tania Hary berkata, loji itu dijangka beroperasi menggunakan generator dan hanya mampu menghasilkan sekitar 2,500 meter padu air sehari, jumlah yang hampir sama dengan isi padu sebuah kolam renang Olimpik.

Hary menambah, sekatan Israel terhadap bekalan bahan api ke Gaza mempunyai kesan yang lebih besar dan kekurangan air semakin membimbangkan kerana bahan api diperlukan untuk menggerakkan trak pengagihan air.

Israel menerima kecaman hebat kerana menggantung bekalan ke Gaza.

“Sebarang sekatan terhadap kemasukan keperluan asas untuk orang awam boleh dianggap sebagai hukuman kolektif,” kata Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Jumaat.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini menyatakan, terdapat alasan kukuh untuk mempercayai bahawa Israel telah menggunakan "kebuluran sebagai kaedah peperangan" ketika ia mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tahun lalu.

Tuduhan ini merupakan salah satu elemen utama dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan ke Mahkamah

Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menuduh Israel melakukan genosid.

Israel menafikan tuduhan itu, dengan mendakwa bahawa ia telah membenarkan jumlah bantuan yang mencukupi masuk dan menyalahkan PBB kerana didakwa gagal mengagihkan bantuan tersebut.

Israel juga menuduh Hamas mencuri sebahagian daripada bantuan yang disalurkan.

Pemimpin kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman, Abdul Malik Al-Houthi pula memberi amaran pada Jumaat, serangan terhadap kapal-kapal yang berkaitan dengan Israel di perairan Yaman akan disambung semula dalam masa empat hari jika bantuan ke Gaza tidak disambung.

Houthi sebelum ini menggambarkan serangan mereka sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.

Gencatan senjata telah menghentikan pertempuran paling dahsyat antara Israel dan Hamas, yang tercetus selepas serangan Hamas ke atas Israel selatan pada 7 Oktober 2023.

Fasa pertama gencatan senjata membolehkan pemulangan 25 tebusan yang masih hidup dan mayat lapan yang lain sebagai pertukaran dengan pembebasan hampir 2,000 tahanan Palestin.

Tentera Israel telah berundur ke zon penampan dalam Gaza, ratusan ribu rakyat Palestin yang dipindahkan telah kembali ke utara Gaza sementara ratusan trak bantuan masuk setiap hari sehingga Israel menggantung bekalan.

Utusan AS bincang dengan Hamas

Dalam perkembangan sama, White House pada Rabu mengesahkan, terdapat rundingan langsung antara Amerika Syarikat (AS) dan Hamas.

Pada Ahad, utusan Adam Boehler memberitahu penyiar Israel, Kan, Hamas telah mencadangkan gencatan senjata selama lima hingga sepuluh tahun dengan syarat ia akan melucutkan senjata.

Sebelum ini, Hamas menegaskan, melucutkan senjata adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Seorang pegawai kanan Hamas yang enggan dikenali kerana berbicara mengenai hubungan dengan AS berkata, kumpulan itu menyatakan pendirian lamanya bahawa ia hanya akan melucutkan senjata sebagai balasan kepada "penyelesaian yang adil dan saksama" yang termasuk penubuhan sebuah negara Palestin merdeka.

Boehler juga memberitahu CNN: "Saya rasa kita boleh melihat sesuatu seperti gencatan senjata jangka panjang, di mana tahanan diberikan pengampunan, Hamas melucutkan senjata dan mereka bersetuju untuk tidak menjadi sebahagian daripada parti politik pada masa hadapan. Saya fikir itu adalah realiti yang semakin hampir."

Ketika ditanya sama ada beliau akan berbicara dengan Hamas sekali lagi, Boehler menjawab, "Kita tidak tahu."

Beliau menambah: "Saya rasa sesuatu boleh disepakati dalam beberapa minggu" dan menyatakan harapan untuk perjanjian yang akan membebaskan semua tebusan, bukan hanya warga Amerika.

Boehler berkata, empat daripada lima tebusan warga Amerika di Gaza telah terbunuh, manakala Edan Alexander masih hidup.

Pada Ahad, Hamas tidak mengulas mengenai rundingan ini tetapi mengulangi sokongannya terhadap cadangan pembentukan jawatankuasa teknokrat bebas untuk mentadbir Gaza sehingga rakyat Palestin mengadakan pilihan raya presiden dan perundangan.

Serangan Hamas pada Oktober 2023 mengorbankan kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam di dalam Israel, dan menculik 251 orang.

Kebanyakan tebusan telah dibebaskan dalam perjanjian gencatan senjata atau pengaturan lain.

Serangan ketenteraan Israel telah mengorbankan lebih 48,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, yang tidak menyatakan berapa ramai daripada mereka adalah pejuang bersenjata.

Dengan sekatan bekalan ke Gaza, rakyat Palestin melaporkan kenaikan harga yang mendadak untuk barang keperluan yang semakin berkurangan semasa bulan suci Ramadan.

"Sejak gencatan senjata bermula, keadaan sedikit bertambah baik. Tetapi sebelum itu, keadaannya sangat teruk," kata Fares Al-Qeisi di Khan Younis, selatan Gaza. - Agensi