Semasa Ramadan, ratusan ribu rakyat Palestin datang untuk bersembahyang di al-Aqsa, masjid ketiga paling utama bagi umat Islam yang terletak di Jerusalem Timur - kawasan Kota Suci yang diduduki dan diambil alih secara paksa oleh Israel.
Tahun ini, Ramadan berlaku ketika gencatan senjata yang rapuh sedang berlangsung di Gaza, yang sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran selepas perang dahsyat yang mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah Palestin itu.
“Sekatan keselamatan awam seperti biasa akan dilaksanakan seperti setiap tahun,” kata jurucakap kerajaan Israel, David Mencer, dalam taklimat dalam talian kepada wartawan.
Tahun lepas, semasa perang di Gaza, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan ke atas pengunjung yang datang ke al-Aqsa, terutamanya terhadap rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki.
Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita berumur lebih 50 tahun dibenarkan memasuki pekarangan masjid “atas sebab keselamatan,” manakala ribuan pegawai polis Israel ditempatkan di seluruh Kota Lama Jerusalem.
Mencer berkata, langkah berjaga-jaga akan diambil sekali lagi tahun ini.
“Apa yang kami tidak boleh benarkan dan tiada negara pun akan membenarkan ialah tindakan orang yang ingin mencetuskan keganasan dan serangan terhadap orang lain,” katanya, tanpa memperincikan penempatan polis tahun ini.
Pekarangan Masjid al-Aqsa merupakan simbol identiti nasional Palestin.
Mengikut konvensyen lama, orang Yahudi dibenarkan melawat tetapi tidak dibenarkan bersembahyang di kawasan tersebut, yang mereka hormati sebagai tapak kuil kedua mereka, yang dimusnahkan oleh Rom pada tahun 70 Masihi.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai golongan ultranasionalis Yahudi telah melanggar peraturan ini termasuk ahli politik sayap kanan Itamar Ben-Gvir, yang secara terbuka bersembahyang di sana semasa beliau berkhidmat sebagai menteri keselamatan negara pada 2023 dan 2024.
Kerajaan Israel berulang kali menyatakan bahawa hasrat untuk mengekalkan status quo di pekarangan itu, tetapi kebimbangan Palestin mengenai masa depannya telah menjadikan lokasi tersebut sebagai titik panas keganasan.
Tahun lepas, Israel membenarkan umat Islam beribadat di al-Aqsa dalam jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya walaupun perang sedang berlaku di Gaza. - Agensi
