MOSCOW: Pihak berkuasa Rusia sedang menyiasat satu insiden melibatkan kemungkinan pelepasan jangkitan berbahaya akibat kemalangan makmal di Siberia selepas seorang penyelidik dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit yang asal usulnya masih belum dikenal pasti.
Insiden itu berlaku di Institut Penyelidikan Anti-Wabak di Shelekhov berhampiran bandar Irkutsk, menurut laporan media kerajaan Rusia.
Setakat ini, masih belum jelas jenis patogen atau agen jangkitan yang mungkin terlibat dalam kejadian berkenaan.
Agensi kawalan penyakit Rusia, Rospotrebnadzor memaklumkan, seorang pekerja makmal meninggal dunia selepas disahkan menghidap radang paru-paru dengan punca yang masih belum diketahui.
“Keadaan sanitari dan epidemiologi di wilayah Irkutsk serta bandar Irkutsk dan Shelekhov kekal stabil,” kata agensi itu dalam satu kenyataan.
Menurut Rospotrebnadzor, langkah-langkah khas telah dilaksanakan susulan kes membabitkan seorang kakitangan Institut Anti-Wabak Irkutsk yang didiagnosis dengan “radang paru-paru yang etiologinya tidak diketahui.”
Sebelum ini, ketua Republik Buryatia yang berjiran dengan Irkutsk, Alexei Tsydenov berkata, mangsa, seorang wanita berusia 28 tahun, dipercayai meninggal dunia “kemungkinan akibat wabak plague.”
Bagaimanapun, beliau menegaskan, tiada penularan wabak plague direkodkan di Buryatia.
Pihak berkuasa gesa orang ramai bertenang
Gabenor Irkutsk, Igor Kobzev menyeru penduduk supaya tidak panik dan memaklumkan, satu mesyuarat khas Suruhanjaya Anti-Epidemik Wilayah telah diadakan bersama Ketua Doktor Negara Rusia.
Menurutnya, mesyuarat itu diadakan susulan satu “kes yang disyaki melibatkan jangkitan amat berbahaya” terhadap seorang penduduk di wilayah berkenaan.
Sebuah kilang aluminium berhampiran makmal terbabit turut mengarahkan pekerjanya memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
Pengarah Kilang Aluminium Irkutsk, Artem Fominikh berkata, terlalu banyak khabar angin dan maklumat bercanggah sedang tersebar mengenai insiden tersebut.
“Semua individu yang dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan mangsa kini berada di bawah pemantauan perubatan.
“Setakat ini, mereka tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit dan keputusan ujian makmal mereka adalah negatif,” katanya.
Laporan tidak rasmi, termasuk daripada portal berita bebas Liudi Baikala, menyatakan hampir 200 individu telah ditempatkan di bawah pemerhatian di hospital Shelekhov yang menerima mangsa sebelum kematiannya.
Laporan sama turut mendakwa, kuarantin telah dilaksanakan di sekurang-kurangnya sebuah hospital bersalin di bandar itu.
Kemungkinan bukan wabak plague
Bekas Ketua Rospotrebnadzor, Gennady Onishchenko berkata, jangkitan yang berlaku di wilayah Irkutsk berkemungkinan besar bukan wabak plague.
Menurut beliau, walaupun penyakit itu akhirnya disahkan sebagai plague, risiko penularan secara meluas adalah rendah.
Beliau turut berpandangan, cuaca sejuk yang mula melanda rantau itu berkemungkinan mengurangkan risiko penyebaran penyakit.
Plague merupakan penyakit berpunca daripada bakteria Yersinia pestis dan terbahagi kepada tiga jenis utama.
Dua daripadanya lazimnya merebak melalui gigitan kutu yang dijangkiti, haiwan pembawa penyakit atau sentuhan dengan tisu yang tercemar.
Bagaimanapun, plague pneumonik atau plague paru-paru lebih berbahaya kerana boleh merebak secara langsung daripada manusia kepada manusia melalui titisan pernafasan.
Pesakit yang dijangkiti kebiasaannya mengalami demam, sakit kepala, lemah badan serta radang paru-paru yang berkembang dengan cepat, termasuk gejala sesak nafas, sakit dada, batuk dan dalam sesetengah kes mengeluarkan kahak berdarah atau berair.
WHO: Boleh dirawat jika dikesan awal
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan plague mempunyai kadar kematian yang tinggi jika tidak dirawat.
Namun, penyakit itu boleh dirawat secara berkesan menggunakan antibiotik, selain langkah pencegahan jangkitan yang sesuai.
Sehingga kini, pihak berkuasa Rusia belum mengesahkan sama ada insiden di Shelekhov benar-benar melibatkan wabak plague atau patogen berbahaya lain, sementara siasatan lanjut masih diteruskan. - Agensi