Skip to main content

Dunia

Jepun tubuh agensi baharu perkukuh pengurusan bencana

Penubuhan agensi itu juga merupakan yang pertama di bawah penyeliaan langsung Kabinet sejak Agensi Digital diwujudkan pada September 2021. - Foto Reuters
Penubuhan agensi itu juga merupakan yang pertama di bawah penyeliaan langsung Kabinet sejak Agensi Digital diwujudkan pada September 2021. - Foto Reuters

Ringkasan AI

  • Jepun menubuhkan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan untuk menyelaras tindakan kecemasan dan mengurangkan risiko bencana seperti gempa bumi, banjir dan letusan gunung berapi.
  • Agensi beribu pejabat di Tokyo ini akan menubuhkan hab serantau, dengan lokasi dijangka dikenal pasti pada musim panas 2027 dan operasi bermula selewat-lewatnya Julai 2028.
  • Agensi ini juga bertanggungjawab menyelia pemulihan kawasan terjejas serta membantu pihak berkuasa tempatan yang kekurangan dana dan kepakaran pengurusan bencana.
Advertisement

TOKYO: Kerajaan Jepun mengambil langkah memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi bencana alam menerusi penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan yang bertanggungjawab menyelaras tindakan kecemasan serta mengurangkan risiko kemusnahan akibat gempa bumi, banjir dan letusan gunung berapi.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan yang beribu pejabat di Tokyo itu akan berperanan menyelaras pengurusan bencana di peringkat nasional dan menubuhkan hab serantau bagi meningkatkan kerjasama dengan kerajaan tempatan, termasuk dalam menghadapi kemungkinan gempa bumi mega.

Lokasi hab serantau berkenaan dijangka dikenal pasti pada musim panas 2027 sebelum mula beroperasi selewat-lewatnya Julai 2028.

Advertisement

Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara berkata Perdana Menteri Sanae Takaichi akan mengetuai agensi itu, manakala Menteri Pembinaan Semula Goshi Hosono turut diberikan tanggungjawab sebagai Menteri Pengurusan Bencana.

Penubuhan agensi itu juga merupakan yang pertama di bawah penyeliaan langsung Kabinet sejak Agensi Digital diwujudkan pada September 2021.

Advertisement

Antara tanggungjawab utamanya termasuk menangani ancaman gempa bumi, hujan lebat dan letusan gunung berapi, selain membantu pihak berkuasa tempatan yang berdepan kekurangan dana serta kepakaran pengurusan bencana.

Dalam pada itu, Menteri Pengurusan Bencana turut diberikan kuasa mengemukakan syor kepada kementerian dan agensi berkaitan, dengan pihak yang dikenal pasti gagal mengambil langkah sewajarnya diwajibkan mempertimbangkan cadangan berkenaan. 

Agensi itu juga akan menyelia usaha pemulihan dan pembinaan semula kawasan terjejas, termasuk Semenanjung Noto yang dilanda gempa bumi pada 2024 serta Wilayah Kumamoto susulan gempa bumi bermagnitud 7.1 pada Julai tahun ini.

Dalam pada itu, kejadian banjir yang semakin serius turut menjadi antara keutamaan agensi berkenaan, khususnya susulan hujan lebat di Wilayah Chiba pada Ogos lalu yang mengakibatkan banjir di kawasan bandar, lapor Kyodo News.

Must Watch Video

Advertisement