PETAH TIKVA: Kakitangan di Kompleks Beilinson Schneider di Israel mempersiapkan bilik dan rawatan sementara menunggu lebih banyak tebusan dibebaskan dari Gaza.

Dalam satu video yang didedahkan pada Jumaat, kakitangan hospital dilihat mempersiapkan katil serta peralatan perubatan dan senaman.

Anggota pejuang Hamas mengumumkan nama empat askar wanita Israel yang akan dibebaskan pada Jumaat sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin dalam pertukaran kedua di bawah perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Anggota unit pengawasan tentera Israel, Karina Ariev, Daniela Gilboa, Naama Levy dan Liri Albag, yang ditempatkan berhampiran Gaza akan dibebaskan pada Sabtu.

Isnin lalu, Hamas membebaskan tiga tebusan Israel dan Israel membebaskan 90 tahanan Palestin, juga hari pertama gencatan senjata menghentikan perang 15 bulan yang memusnahkan Gaza dan menyebabkan pergolakan di Asia Barat.

Sementara itu, duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) diarah menghentikan operasi dan meninggalkan semua premisnya di Baitulmaqdis menjelang 30 Januari ini.