Skip to main content

Dunia

Kakitangan sekolah maut, dua guru cedera dalam serangan pisau di Poland

Seorang kanak-kanak berjalan berhampiran anggota bomba yang sedang menjalankan operasi di lokasi serangan maut di sebuah sekolah di Poland. - Foto REUTERS
Seorang kanak-kanak berjalan berhampiran anggota bomba yang sedang menjalankan operasi di lokasi serangan maut di sebuah sekolah di Poland. - Foto REUTERS

Advertisement

WARSAW: Seorang kakitangan sekolah berusia 37 tahun maut selepas ditikam oleh bekas pelajar dalam satu serangan di sebuah sekolah rendah di Leszczydol-Nowiny, utara Warsaw, menurut pihak berkuasa Poland.

Polis berkata suspek berusia 15 tahun memasuki kawasan sekolah sekitar jam 9 pagi waktu tempatan sebelum menyerang mangsa dengan pisau.

Serangan itu berjaya dihentikan selepas seorang guru dan guru besar sekolah berkenaan bertindak menahan suspek.

Kedua-dua mereka turut mengalami kecederaan dalam insiden tersebut.

Perdana Menteri Poland, Donald Tusk, berkata remaja itu memakai topi keledar yang dipasang kamera dan dipercayai berniat merakam serangan berkenaan.

Media tempatan melaporkan mangsa cuba menghalang suspek daripada memasuki kawasan sekolah sebelum diserang.

Menurut jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Karolina Galecka, suspek membawa tiga bilah pisau ketika kejadian berlaku.

Beliau berkata motif serangan masih belum diketahui, walaupun suspek pernah belajar di sekolah yang sama.

Guru dan guru besar yang cedera dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak menghadapi ancaman terhadap nyawa.

Insiden itu berlaku sehari selepas seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam satu lagi serangan pisau di sebuah sekolah yang menyebabkan sembilan individu cedera.

Pada hari yang sama, pihak berkuasa turut menggagalkan satu lagi serangan yang dirancang oleh seorang remaja berusia 17 tahun di bandar Sierpc, barat laut Warsaw.

Menteri Dalam Negeri, Marcin Kierwinski, berkata remaja terbabit ditahan selepas menyatakan di kawasan sekolah bahawa dia bercadang melakukan sesuatu yang berbahaya dan mencederakan seseorang.

Hasil pemeriksaan polis menemui dua bilah pisau dalam simpanannya.

Menurut Kierwinski, siasatan mendapati remaja itu turut mencari maklumat di internet mengenai cara melakukan serangan ganas.

Susulan beberapa kejadian dalam tempoh singkat itu, Tusk menyuarakan kebimbangan kemungkinan lebih banyak serangan seumpamanya akan ditiru oleh pihak lain dan mengarahkan polis meningkatkan kehadiran di sekolah-sekolah.

Beliau turut mengarahkan anggota polis mengadakan lawatan harian ke institusi pendidikan bagi mencegah kejadian keganasan yang sama berulang.

Media tempatan, yang memetik sumber polis, melaporkan pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan beberapa insiden berkenaan mempunyai kaitan dengan cabaran yang tular di internet.

 

 

Must Watch Video

Advertisement