KUALA LUMPUR: Indonesia menutup semua laluan masuk ke kawasan pelancongan Gunung Bromo di Taman Nasional Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Jawa Timur, susulan kebakaran hutan yang semakin meluas di kawasan kawah gunung berapi aktif itu.
Pihak pengurusan TNBTS dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu dilakukan bagi memastikan usaha memadam kebakaran dapat dilaksanakan dengan berkesan, selain menjaga keselamatan pengunjung.
Jelasnya, penutupan itu berkuat kuasa mulai 8 Ogos sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.
"Sehubungan dengan kejadian kebakaran hutan yang semakin meluas di kawasan kawah Bromo, kawasan Taman Nasional Bromo Tengger Semeru, kunjungan pelancongan Bromo dari semua pintu masuk ditutup untuk kunjungan," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Antara laluan yang ditutup ialah pintu masuk Cemorolawang di Kabupaten Probolinggo, Wonokitri di Kabupaten Pasuruan, Jemplang dan Coban Trisula di Kabupaten Malang serta Senduro di Kabupaten Lumajang.
TNBTS berkata tempoh penutupan akan dimaklumkan semula berdasarkan perkembangan usaha pemadaman kebakaran dan keadaan keselamatan di kawasan berkenaan.
Pihaknya menambah pengunjung yang telah membeli tiket masuk menerusi aplikasi tempahan dalam talian bagi kunjungan sepanjang tempoh penutupan diberi pilihan untuk menjadualkan semula kunjungan atau mendapatkan bayaran balik.
Dalam pada itu, pengurusan TNBTS turut menggesa masyarakat, pengunjung dan pengusaha perkhidmatan pelancongan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan sepanjang tempoh penutupan.
Kebakaran yang berlaku sejak 3 Ogos lalu dilaporkan telah memusnahkan kira-kira 176 hektar kawasan, meningkat daripada sekitar 60 hektar yang direkodkan pada 6 Ogos.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Agensi Pengurusan Bencana Jawa Timur memaklumkan pihak berkuasa menggunakan helikopter pengebom air dan dron bagi membantu memadam kebakaran.