Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan terburuk di Belgium, penduduk dipindahkan

Smoke from a forest fire rises above the Hürtgenwald, in Düren, Germany, Friday, Aug. 14, 2026. (Sascha Thelen/dpa via AP)
Asap daripada kebakaran hutan menjulang ke udara di atas kawasan Hurtgenwald, Düren, Jerman. - Foto AP
Advertisement

BRUSSELS: Kebakaran hutan di timur Belgium memusnahkan kira-kira 2,700 hektar kawasan High Fens setakat petang Sabtu, menyebabkan kira-kira 600 penduduk dipindahkan, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor Xinhua.

Pejabat Gabenor Liege berkata kawasan terbakar meningkat daripada kira-kira 1,600 hektar pada awal hari itu apabila kebakaran terus merebak.

Pihak berkuasa tempatan mengesahkan kebakaran itu sebagai yang terbesar pernah direkodkan di Belgium. 

Data Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah menunjukkan kebakaran besar pada 2011 memusnahkan hampir 1,400 hektar.

Kebakaran tercetus kira-kira 2 petang Jumaat di kawasan rizab alam semula jadi High Fens berhampiran sempadan Jerman, dengan operasi pemadaman diteruskan hingga Sabtu.

Kira-kira 600 orang dipindahkan dari komuniti berhampiran, susulan perubahan arah angin dan asap tebal yang mengancam kawasan sekitar. 

Pelancong yang menginap di kawasan itu dinasihatkan supaya beredar, manakala sebuah kem musim panas kanak-kanak turut dikosongkan.

Pihak berkuasa tempatan berkata bentuk muka bumi di rizab alam semula jadi itu menyukarkan pasukan kecemasan memadam kebakaran dari jarak dekat menggunakan kaedah konvensional. 

Tiupan angin turut menjejaskan operasi dan berisiko mempercepatkan api merebak. 

Belgium telah mengaktifkan Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah bagi mendapatkan bantuan antarabangsa. 

Pesuruhjaya Eropah bagi Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis berkata di platform X bahawa pesawat pemadam kebakaran yang dihantar ke Belgium pada Sabtu adalah dari Republik Czech, Sweden dan Belanda.

Anggota bomba dari seluruh Belgium serta negara jiran Jerman dan Luxembourg turut menyertai operasi itu. 

Tentera Belgium dan petani tempatan juga membantu usaha pemadaman.

Belgium sekali lagi dilanda cuaca panas terik minggu ini, dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius di beberapa bahagian negara itu pada Jumaat.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement