Gesaan itu disuarakan dalam satu taklimat peringkat tinggi mengenai malaria yang diadakan di luar Sidang Kemuncak Kesatuan Afrika (AU) ke-38 di Addis Ababa, Ethiopia.
Presiden Botswana Duma Boko yang berucap pada majlis itu menegaskan bahawa kemajuan positif Afrika dalam memerangi penyakit berbahaya itu telah terjejas oleh pelbagai faktor, termasuk kekurangan dana serta bencana alam dan buatan manusia.
"Tugas kita amat mencabar dan mendesak. Kemajuan kita telah terhenti dan hakikatnya, kita tidak berada di landasan yang betul.
"Gabungan ancaman seperti kekurangan sumber, perubahan iklim, risiko biologi dan krisis kemanusiaan boleh menggagalkan usaha kita," kata Boko, yang juga bakal memegang jawatan pengerusi Perikatan Pemimpin Afrika bagi Malaria (ALMA).
Beliau turut memberi amaran bahawa rantau Afrika Selatan kini bersiap sedia menghadapi peningkatan kes malaria berikutan hujan lebat yang mewujudkan lebih banyak tempat pembiakan nyamuk.
"Adalah mustahak untuk memperoleh sumber yang mencukupi bagi memerangi malaria dan menutup jurang kritikal ini dengan tenaga baharu.
"Afrika mesti segera bangkit menyahut cabaran ini dengan menggerakkan sumber dalaman, termasuk menggunakan dana kecemasan dan meningkatkan peruntukan bajet kesihatan," katanya.
Laporan baharu mengenai situasi malaria di Afrika yang dilancarkan di luar Sidang Kemuncak AU mendedahkan bahawa, meskipun 1.8 bilion kes malaria berjaya dicegah dan 11.9 juta nyawa diselamatkan sejak 2000, kemajuan benua itu kini terbantut.
Laporan itu juga menyatakan bahawa benua Afrika kini berada pada "detik penentu" dalam perjuangannya membasmi malaria, dengan sasaran interim bagi 2025 semakin sukar dicapai, manakala impian menghapuskan malaria sepenuhnya menjelang 2030 semakin terjejas.
Pemangku Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Afrika, Chikwe Ihekweazu berkata negara-negara Afrika terus berdepan pelbagai cabaran yang menghalang penghapusan malaria.
Antara cabaran itu termasuk sistem kesihatan yang rapuh, pemantauan yang lemah, kekurangan dana kronik, serta rintangan terhadap ubat anti-malaria.
-- BERNAMA
