RIYADH: Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi akan menganjurkan Persidangan Negara-Negara ASEAN Ke-4 selama dua hari bermula Isnin di Kemboja, dengan penyertaan barisan menteri, cendekiawan, penyelidik dan tokoh Islam terkemuka, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Persidangan itu bertujuan mengetengahkan sumber dan aspek kecemerlangan ummah, mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kecemerlangan itu, memberi amaran mengenai ancaman terhadapnya serta menonjolkan usaha institusi Islam untuk menggalakkan kecemerlangan ummah.
Persidangan itu juga bertujuan memperkukuh komunikasi antara institusi dan tokoh Islam dalam usaha mencapai matlamat berkenaan.
Misi persidangan itu adalah untuk memperkukuh nilai kesederhanaan dan keseimbangan serta mengetengahkan usaha menggalakkan kecemerlangan ummah.
Hari pertama persidangan akan menampilkan lima sesi akademik yang membincangkan beberapa topik khusus, manakala tiga sesi akademik akan diadakan pada hari kedua persidangan.
-- BERNAMA-SPA