KUALA LUMPUR: Seorang pelajar universiti warga Indonesia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup lebih empat kilogram syabu dari Malaysia melalui Terminal Feri Antarabangsa Teluk Nibung, Sumatera Utara, pada Sabtu.
Suspek berusia 21 tahun yang berasal dari Medan itu dipercayai bertindak sebagai keldai dadah selepas dijanjikan upah sebanyak 30 juta rupiah (kira-kira RM7,500) sekiranya berjaya menghantar bekalan berkenaan.
Memetik laporan portal berita Indonesia, Metro24, suspek yang dikenali sebagai DQ atau DAI ditahan kira-kira pukul 5.20 petang waktu tempatan selepas tiba menaiki feri dari Port Dickson, Malaysia.
Ketua Siasatan Narkotik Polis Tanjungbalai, AKP Yudi F. berkata, kegiatan itu terbongkar selepas pegawai kastam mengesan sesuatu yang mencurigakan ketika pemeriksaan bagasi menggunakan mesin pengimbas X-ray.
"Pegawai kastam mengesyaki sebuah beg pakaian berwarna biru bertulis SONIA CABIN milik seorang penumpang berinisial DAI.
"Pegawai kemudian berkoordinasi dengan Bahagian Siasatan Narkotik Polis Tanjungbalai untuk menjalankan pemeriksaan bersama," katanya seperti dilaporkan Metro24 hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemukan lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan kristal putih dipercayai syabu yang disembunyikan dalam ruang dinding palsu beg berkenaan.
Menurut laporan Metro TV News Indonesia, ujian menggunakan alat pengesan narkotik Rigaku mengesahkan bahan kristal putih itu mengandungi methamphetamine atau syabu.
Jumlah rampasan direkodkan seberat 4,044 gram berdasarkan berat kasar yang dilaporkan pihak polis.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai memperoleh dadah berkenaan daripada seorang lelaki dikenali sebagai S ketika berada di Malaysia.
Bekalan itu dipercayai dirancang untuk dihantar ke Medan sebelum diserahkan kepada seorang lagi lelaki dikenali sebagai A, yang didakwa menjanjikan bayaran 30 juta rupiah kepada suspek.
Kedua-dua individu berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti rangkaian penyeludupan dadah yang terlibat.
Polis turut merampas dua telefon bimbit, pasport, tiket feri, wang tunai Ringgit Malaysia serta beg pakaian yang digunakan untuk menyembunyikan dadah.
Suspek bersama barang rampasan kini berada dalam tahanan Polis Tanjungbalai bagi membantu siasatan lanjut mengikut undang-undang narkotik Indonesia.