Skip to main content

Dunia

Kes demam campak dilaporkan di Universal Studios Hollywood

LOS ANGELES, 7 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Pegawai kesihatan Daerah Los Angeles sedang menyiasat satu kes demam campak membabitkan seorang pengunjung yang berjangkit dan berada di Universal Studios Hollywood selama kira-kira 11 jam pada 26 Julai, sambil memberi amaran bahawa individu yang berada di taman tema itu pada hari berkenaan mungkin terdedah kepada penyakit itu, lapor Xinhua.
Virus demam campak boleh kekal di udara atau pada permukaan selepas individu yang dijangkiti meninggalkan sesuatu tempat, menjadikan kawasan tertutup yang sesak dan tempoh pendedahan yang panjang sebagai faktor risiko utama. - Gambar hiasan/BERNAMA
Advertisement

LOS ANGELES: Pegawai kesihatan Daerah Los Angeles sedang menyiasat satu kes demam campak membabitkan seorang pengunjung yang berjangkit dan berada di Universal Studios Hollywood selama kira-kira 11 jam pada 26 Julai, sambil memberi amaran bahawa individu yang berada di taman tema itu pada hari berkenaan mungkin terdedah kepada penyakit itu, lapor Xinhua.

Jabatan Kesihatan Awam Daerah Los Angeles pada Rabu memaklumkan bahawa individu terbabit berada di taman tema itu dari 10 pagi hingga 9 malam pada hari berkenaan. 

Pihak berkuasa menasihati sesiapa yang berada di lokasi itu dalam tempoh berkenaan supaya memastikan mereka dilindungi daripada demam campak dan memantau sebarang gejala sehingga 16 Ogos, iaitu penghujung tempoh inkubasi selama 21 hari selepas kemungkinan terdedah kepada virus itu.

Demam campak merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti bernafas, bercakap, batuk atau bersin. Virus itu boleh kekal di udara atau pada permukaan selepas individu yang dijangkiti meninggalkan sesuatu tempat, menjadikan kawasan tertutup yang sesak dan tempoh pendedahan yang panjang sebagai faktor risiko utama.

Pegawai daerah berkata individu yang dijangkiti boleh menyebarkan demam campak bermula empat hari sebelum ruam muncul sehingga empat hari selepas ruam itu timbul.

Demam campak diisytiharkan berjaya dihapuskan di Amerika Syarikat pada 2000, yang bermaksud penyakit itu tidak lagi merebak secara berterusan di negara berkenaan. 

Bagaimanapun, wabak masih boleh berlaku apabila pengembara membawa virus itu ke komuniti yang mempunyai kadar vaksinasi rendah.

Pegawai kesihatan berkata dua dos vaksin campak, beguk dan rubela (MMR) adalah kira-kira 97 peratus berkesan dalam mencegah demam campak, manakala satu dos adalah kira-kira 93 peratus berkesan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

Must Watch Video

Advertisement