CAPE TOWN: Jumlah kes Ebola yang direkodkan di Republik Demokratik Congo (DRC) meningkat kepada 10,060, menurut pihak berkuasa kesihatan pada Selasa, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Wabak itu disifatkan sebagai yang paling cepat tersebar dalam sejarah oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC).
Menurut pihak berkuasa kesihatan Congo, 4,887 orang telah meninggal dunia akibat penyakit itu sejak wabak itu mula dilaporkan pada pertengahan Mei.
Kes varian Bundibugyo yang sangat menular bagi virus itu juga telah disahkan di Kenya dan Nigeria.
Di Kenya, sembilan jangkitan dan dua kematian disahkan setakat ini, berikutan ketibaan seorang pesakit yang melakukan perjalanan dari Congo melalui Uganda ke ibu negara, Nairobi.
Nigeria mengesahkan kes pertama jenis Ebola Bundibugyo pada 20 Okt, melibatkan seorang wanita Switzerland yang melakukan perjalanan dari Uganda ke Nigeria pada 3 Okt.
Dia mengalami gejala empat hari selepas tiba di negara itu.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan tempat dia dijangkiti virus itu.
Uganda merekodkan 20 kes Ebola yang disahkan, termasuk dua kematian sepanjang wabak itu, yang dikesan berpunca daripada seorang pesakit dari Congo.
Negara itu mengisytiharkan wabak itu berakhir pada penghujung Ogos selepas tiada kes baharu dilaporkan selama 42 hari.
Virus Bundibugyo merebak menerusi sentuhan dengan cecair badan orang yang dijangkiti. Penyakit yang terhasil boleh menyebabkan demam, cirit-birit dan pendarahan.
-- BERNAMA-dpa