KATHMANDU: Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di kawasan sempadan Nepal-Tibet meningkat kepada sekurang-kurangnya 626 orang setakat Sabtu, manakala lebih 2,400 lagi masih dilaporkan hilang.
Menurut kemas kini terbaharu pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal, jumlah mangsa hilang kini mencecah 2,426 orang, termasuk ratusan warga asing yang masih belum dapat dikesan.
Pasukan mencari dan menyelamat berdepan kesukaran untuk memasuki komuniti terpencil di sepanjang koridor sempadan Nepal-Tibet berikutan timbunan lumpur tebal serta arus sungai yang masih deras.
Skala sebenar kemusnahan mula dapat dinilai selepas memasuki hari keempat bencana itu, apabila banjir besar yang membawa air, ais dan puing runtuhan glasier merempuh kawasan lembah Himalaya, memusnahkan penempatan, jambatan serta infrastruktur bekalan elektrik.
Operasi mencari dan menyelamat turut terjejas akibat kerosakan teruk jalan utama, gangguan rangkaian telekomunikasi dan bekalan elektrik, selain kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya banjir susulan daripada tasik yang terbentuk akibat timbunan puing di kawasan pergunungan.
Di Tibet, pihak berkuasa China melaporkan tujuh kematian dan sekurang-kurangnya 554 orang masih hilang, termasuk pengembara asing yang berada di kawasan terjejas ketika bencana berlaku.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memaklumkan jumlah sebenar mangsa hilang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya berikutan kemungkinan pertindihan rekod antara agensi di Nepal dan China serta kekangan komunikasi di kawasan bencana.