SEOUL: Kerajaan Korea Selatan pada Isnin menggantung sementara muat turun aplikasi kecerdasan buatan (AI) DeepSeek dari China berikutan kebimbangan mengenai amalan pengumpulan datanya.

Suruhanjaya Perlindungan Maklumat Peribadi memaklumkan bahawa perkhidmatan itu digantung pada petang Sabtu dan hanya akan disambung semula selepas "penambahbaikan dan pembetulan" dibuat selaras dengan undang-undang perlindungan maklumat peribadi Korea Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.

Bagaimanapun, pengguna sedia ada masih boleh mengakses aplikasi berkenaan, namun dinasihatkan agar berhati-hati.

"Mereka yang telah memuat turun DeepSeek dan menggunakannya di internet perlu berwaspada kerana terdapat risiko pencerobohan maklumat peribadi," kata pegawai suruhanjaya Nam Seok, kepada pemberita.

Tindakan ini diambil susulan beberapa kementerian dan agensi kerajaan menyekat akses dalaman kepada perkhidmatan AI berkenaan ekoran kebimbangan mengenai pengurusan datanya.

Menurut laporan, suruhanjaya itu menyuarakan kebimbangannya terhadap DeepSeek dan syarikat berkenaan bersetuju untuk menggantung sementara perkhidmatan sehingga pembetulan dibuat.

Bulan lalu, suruhanjaya turut menghantar kenyataan rasmi kepada DeepSeek bagi mendapatkan penjelasan mengenai kaedah pengumpulan dan pengurusan data syarikat itu.

Sebagai tindak balas, syarikat berkenaan melantik wakil undang-undang di Korea Selatan dan mengakui terdapat kekurangan dalam pematuhan undang-undang perlindungan data tempatan.

Ia juga menyuarakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan suruhanjaya.

Sepanjang tempoh penggantungan ini, suruhanjaya berhasrat menjalankan penilaian menyeluruh terhadap amalan pengurusan data syarikat bagi memastikan pematuhan sepenuhnya undang-undang berkaitan.

Selain itu, suruhanjaya turut berikrar untuk mengusulkan pindaan undang-undang bagi memperkukuh kawal selia terhadap syarikat berpangkalan di luar negara dalam kes serupa tanpa menjejaskan penggunaan AI.

-- BERNAMA