KATHMANDU: Kerajaan Nepal menganggarkan negara itu memerlukan antara AS$4 bilion hingga AS$5 bilion (kira-kira RM17 bilion hingga RM21.3 bilion) bagi membiayai pembangunan semula infrastruktur yang musnah akibat banjir kilat besar baru-baru ini.
Menteri Kewangan Nepal, Dr Swarnim Wagle, berkata anggaran itu masih bersifat awal kerana penilaian penuh terhadap kerugian dan kerosakan di kawasan terjejas masih dijalankan.
Menurut beliau, bencana yang berpunca daripada runtuhan glasier pada pertengahan minggu lalu telah memusnahkan ribuan rumah penduduk selain menyebabkan kerosakan besar kepada jalan raya, jambatan dan infrastruktur logistik utama di kawasan pergunungan.
"Anggaran awal adalah antara AS$4 bilion hingga AS$5 bilion. Ia hanyalah anggaran kerana kerugian dan kerosakan masih dinilai," katanya.
Selain menjejaskan rangkaian pengangkutan darat, beberapa stesen hidroelektrik utama turut mengalami kerosakan, sekali gus memberi kesan kepada sebahagian kapasiti penjanaan tenaga negara.
Imej satelit dan laporan awal dari kawasan sempadan Nepal-Tibet turut menunjukkan kemusnahan besar terhadap kawasan penempatan, pusat perdagangan serta kemudahan kastam yang ditenggelami lumpur dan serpihan banjir.