CHEONGJU: Seorang kru kabin sebuah syarikat penerbangan tambang murah Korea Selatan berdepan hukuman denda hampir RM1 juta selepas bertindak memanjat sayap pesawat untuk bergambar ketika penerbangan ditunda akibat cuaca buruk di sini, baru-baru ini.

Kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Cheongju itu berlaku setelah salah seorang kru penerbangan syarikat Eastar Jet membuka tingkap kecemasan sebelum memanjat ke sayap kiri pesawat untuk bergambar.

Penerbangan 703 dijadualkan berlepas ke Pulau Jeju pada jam 10.20 pagi itu ditunda lebih satu jam akibat salji lebat di kawasan tersebut.

Menurut Akta Perlindungan Pangkalan dan Kemudahan Ketenteraan, individu yang mengambil gambar tanpa kebenaran di kawasan dilarang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum sebanyak 30 juta Won (RM99,000).

Ia kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Cheongju merupakan kawasan ketenteraan terkawal dan sebarang aktiviti penggambaran tanpa kelulusan pihak berkuasa adalah dilarang.

Eastar Jet dalam kenyataan balasnya menafikan dakwaan bahawa pintu kecemasan dibuka semata-mata untuk mengambil gambar.

Syarikat itu menjelaskan bahawa kru kabin berkenaan diarah membuka pintu kecemasan sebagai sebahagian daripada latihan yang jarang dilakukan.

“Syarikat penerbangan memanfaatkan masa menunggu akibat salji lebat untuk menjalankan latihan pintu kecemasan yang biasanya jarang dilakukan,” kata seorang pegawai Eastar Jet.

Pihak syarikat itu bagaimanapun mengakui perbuatan kru kabin bergambar adalah tidak wajar dan memberi jaminan akan mengambil tindakan terhadapnya selepas siasatan selesai. - Sinar Harian memetik agensi