SINGAPURA: Kualiti udara Singapura bertambah baik pada Ahad susulan perubahan arah angin yang kini bertiup dari selatan, namun jerebu yang masih berterusan menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam kekal pada paras tidak sihat antara 106 hingga 186.
Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) dalam laporan harian ramalan cuaca dan jerebu memaklumkan bahawa jerebu asap dari Kalimantan terus bergerak ke arah Singapura, manakala jerebu turut dikesan di Sumatera.
Setakat 7 malam semalam, data NEA menunjukkan bacaan kepekatan PM2.5 bagi tempoh sejam berada antara 37 hingga 69, iaitu dalam julat normal dan meningkat.
"Bagi Isnin, hujan diramalkan berlaku di Singapura dan kawasan sekitarnya. Angin dijangka bertiup dari selatan-tenggara atau selatan, yang mungkin mengehadkan pergerakan jerebu asap dari Kalimantan ke Singapura," menurut agensi itu.
"Bagaimanapun, sebahagian jerebu asap dari Sumatera mungkin bergerak ke arah Singapura," menurut NEA sambil menambah bahawa PSI 24 jam diramalkan berada antara 101 hingga 190 pada Isnin.
-- BERNAMA