FLORIDA: Kumpulan penunjuk perasaan berkumpul di luar Kelab Golf Antarabangsa Trump pada Sabtu bagi membantah dasar imigresen Presiden Donald Trump.

Ini susulan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu melaksanakan janji membanteras pendatang haram dengan pantas dengan menugaskan tentera AS menjaga keselamatan sempadan.

Malah Trump turut mengeluarkan larangan meluas ke atas suaka dan berusaha untuk menyekat kewarganegaraan bagi kanak-kanak bukan warga negara yang dilahirkan di AS.

Sambil membawa papan tanda dan bendera Mexico, Guatemala dan AS, mereka melaungkan "Pendatang jadikan AS hebat," tatkala Trump keluar dari kelab golf berkenaan.

Laungan mereka merujuk kepada slogan kempen presiden "Make America Great Again".

Satu papan tanda dalam bahasa Sepanyol berkata, "Kami adalah suara rakyat yang terpaksa berdiam diri".

Trump, yang baru menggalas jawatan presiden tiga minggu lalu, memenangi jawatan presiden di sebalik janji untuk membanteras pendatang haram.

Trump telah melaksanakan janji itu dengan pantas, bermula pada hari beliau dilantik.