GENEVA: Langkah yang terbukti berkesan untuk menangani perubahan iklim dan menyesuaikan diri dengan kesannya mampu mencegah kira-kira 1.6 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun, menurut anggaran yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan bahawa langkah termasuk sistem amaran cuaca panas, infrastruktur bekalan air dan sanitasi yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim, penggunaan tenaga isi rumah yang lebih bersih serta cukai lebih tinggi terhadap bahan api fosil mampu menyelamatkan nyawa, selain memberikan manfaat ekonomi yang besar.
"Tindakan menangani perubahan iklim kini menjadi soal hidup dan mati," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.
"Kita mempunyai kaedah untuk menyelamatkan nyawa, mengurangkan pelepasan gas dan memperkukuh ekonomi," katanya.
Anggaran itu mengambil kira bukan sahaja kesan pelepasan gas rumah hijau, malah risiko kesihatan berkaitan, termasuk pencemaran udara dan penyakit berjangkit.
WHO memaklumkan bahawa pemansuhan subsidi bahan api fosil di seluruh dunia serta pelaksanaan cukai yang bersesuaian terhadap minyak, gas dan arang batu berpotensi menjana hasil kerajaan sebanyak AS$5.4 trilion setahun.
Menurut anggarannya, pengurangan penggunaan tenaga yang menghasilkan pelepasan karbon tinggi pula mampu memberikan manfaat tambahan sebanyak AS$3 trilion menerusi penurunan kos kesihatan dan alam sekitar.
WHO turut menganggarkan bahawa pelaburan dalam sistem amaran cuaca panas, infrastruktur bekalan air serta penggantian dapur yang menggunakan kayu dan arang batu yang memudaratkan kesihatan mampu menjana manfaat ekonomi tambahan kira-kira AS$844 bilion setahun.
Kos tahunan untuk melaksanakan langkah berkenaan pula dianggarkan hanya AS$35 bilion.
Pakar ekonomi kesihatan WHO Frank Pega memberi amaran bahawa sistem sanitasi asas amat terdedah kepada ancaman berkaitan iklim, termasuk banjir, ribut dan kemarau.
Beliau berkata usaha memperkukuh infrastruktur mampu membantu mengurangkan penyakit seperti cirit-birit dan radang paru-paru.
-- BERNAMA-dpa