TORONTO: Seramai lapan penumpang cedera selepas sebuah pesawat terbalik ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Toronto Pearson pada Isnin waktu tempatan.

Menurut penyelia perkhidmatan paramedik wilayah Peel, Lawrence Saindon, daripada lapan kecederaan yang dilaporkan, satu adalah kritikal manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan hingga sederhana.

Menerusi sebuah rakaman, pesawat dilihat dalam keadaan terbalik di atas landasan yang diselaputi salji.

Jentera bomba turut dikerahkan, menyembur air ke arah pesawat tersebut.

Lapangan Terbang Pearson Toronto dalam kenyataan di platform X memaklumkan, insiden itu melibatkan pesawat Delta yang tiba dari Minneapolis, Amerika Syarikat (AS).

Susulan insiden, pasukan kecemasan dilaporkan sedang bertindak balas.

Semua penumpang serta anak kapal juga telah dikenal pasti.

Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kanada, agensi bebas yang menyiasat nahas pesawat, masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung insiden.