WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah menggunakan hampir keseluruhan stok peluru berpandu ketepatan jarak jauhnya dalam konflik dengan Iran, menurut laporan agensi berita Reuters dan CBS News yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu.
Reuters, yang memetik tiga sumber, melaporkan AS telah menggunakan hampir semua Army Tactical Missile Systems (ATACMS) serta Precision Strike Missiles (PrSM) yang terdapat dalam simpanan global negara itu.
CBS News turut melaporkan bahawa sebahagian besar stok peluru berpandu berkenaan telah digunakan sepanjang operasi ketenteraan terhadap Iran.
Bagaimanapun, Pentagon menolak dakwaan bahawa penggunaan senjata tersebut telah menjejaskan keupayaan ketenteraan AS.
Jurucakap kanan Pentagon, Sean Parnell, berkata tentera AS kekal sebagai pasukan ketenteraan paling berkuasa di dunia dan mempunyai segala keperluan untuk melaksanakan sebarang operasi yang diarahkan oleh presiden.
βKetenteraan Amerika adalah yang paling berkuasa di dunia dan mempunyai segala yang diperlukan untuk melaksanakan operasi pada masa dan lokasi yang dipilih oleh Presiden,β katanya.
Sebelum ini, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, turut menepis kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan peluru dan senjata dalam inventori ketenteraan negara itu.
Laporan mengenai tahap stok peluru berpandu AS itu muncul ketika Washington terus menilai kesiapsiagaan ketenteraannya susulan konflik dengan Iran serta ketegangan keselamatan yang berlanjutan di beberapa rantau strategik dunia.
Setakat ini, Pentagon tidak mendedahkan jumlah sebenar baki stok ATACMS dan Precision Strike Missiles yang masih dimiliki oleh AS.