RAMALLAH: Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin mendedahkan bahawa lebih tiga juta rakyat Palestin kini "dipenjarakan" di bandar, pekan, dan kem pelarian mereka oleh pihak berkuasa Israel, dengan menghadapi sekatan ketat terhadap akses kepada pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan, dan tempat ibadah.

Kementerian itu mengecam tindakan Israel sebagai bentuk apartheid paling kejam.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), kementerian itu menegaskan komitmennya untuk terus mendedahkan pelanggaran serius ini, yang disifatkan sebagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Kementerian itu menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan tekanan yang bermakna untuk menamatkan kezaliman yang menimpa rakyat Palestin, sekali gus membolehkan mereka hidup bermaruah di tanah air dan negara berdaulat mereka.

Kementerian itu turut menekankan bahawa pentadbiran sayap kanan di Israel semakin menjerumuskan rakyat Palestin ke dalam keadaan getir, mengancam masa depan generasi akan datang.

Situasi ini berlaku dalam konteks kegagalan antarabangsa yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk menegakkan undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, dan legitimasi antarabangsa.

Keadaan ini diburukkan lagi oleh sikap dwistandard negara-negara yang menyokong penyelesaian dua negara tetapi pada masa yang sama memberikan perlindungan dan sokongan kepada pendudukan, menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menyatakan bahawa lebih dua juta rakyat Palestin di Semenanjung Gaza telah kehilangan tempat tinggal, dinafikan keperluan asas untuk kelangsungan hidup, dan dilucutkan hak sivil mereka, semua ini berlaku di bawah pengawasan dunia yang mendakwa mendukung ketamadunan.

Kementerian itu turut menambah bahawa Israel telah melakukan tindakan penghapusan etnik secara besar-besaran serta memusnahkan tanah air Palestin dengan niat untuk memaksa penduduknya berpindah secara paksa.

-- BERNAMA