TEHRAN: Lebih 800 guru dilaporkan syahid di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, dengan tindakan menyasarkan golongan pendidik disifatkan sebagai serangan terhadap masa depan generasi Palestin serta hak mereka untuk mendapat pendidikan dan meneruskan kehidupan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) memetik seorang pegawai pendidikan Palestin.
Ketua Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan Palestin di Gaza, Ahmad al-Najjar pada Ahad berkata tentera pendudukan Israel terus menyasarkan warga pendidik di wilayah itu.
Beliau berkata beberapa guru turut dilaporkan syahid sejak beberapa hari kebelakangan ini susulan serangan berterusan terhadap warga pendidik.
Menurut angka terkini yang dikeluarkan kementerian itu, lebih 800 guru lelaki dan wanita syahid, manakala lebih 3,300 lagi cedera sejak perang tercetus pada Oktober 2023.
Kementerian itu turut menggesa masyarakat antarabangsa, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia supaya bertindak menghentikan jenayah berkenaan, membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan serta menjamin keselamatan orang awam dan warga pendidik.
-- BERNAMA-IRNA