Beliau berkata, sebelum gencatan senjata itu, kira-kira 50 rakyat Palestin daripada keseluruhan 128 orang telah memohon untuk dihantar pulang.
"Kedutaan Palestin di Malaysia menerima beberapa permohonan baharu (daripada rakyat Palestin) untuk dihantar pulang susulan gencatan senjata baru-baru ini. Mereka ingin kembali ke tanah air atas pilihan sendiri. Tiada siapa memaksa mereka," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pihak kedutaan telah mengemukakan nota rasmi kepada Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan melalui Kementerian Luar Malaysia mengenai perkara itu.
"Namun bagi mereka yang berminat untuk meneruskan rawatan di Malaysia atau kekal di sini seperti dijanjikan, mereka akan diberi kebenaran selama setahun. Mereka dialu-alukan. Jadi, kami (kedutaan) sedang menunggu maklum balas daripada pihak berkuasa Malaysia untuk membuat keputusan mengenai situasi ini," katanya.
Pada 16 Ogos tahun lepas, Malaysia membawa masuk 127 rakyat Palestin, termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza. Mereka yang cedera dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala ahli keluarga mereka ditempatkan di Rumah Transit Kuala Lumpur (WTKL).
Walid berkata, jumlah keseluruhan kumpulan itu kini meningkat kepada 128 orang selepas seorang bayi dilahirkan di Malaysia baru-baru ini.
Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan sedang mengatur penghantaran pulang 127 rakyat Palestin, termasuk 41 individu yang cedera dan dibawa ke Malaysia untuk rawatan.
Mengulas mengenai gencatan senjata, Walid berkata secara teori ia telah diumumkan tetapi secara praktikalnya Israel terus melaksanakan genosid dan kini beralih dari Gaza ke Jenin dan Tebing Barat.
"Malam tadi, mereka (Israel) terus menyerang Rafah dan Khan Younis. Gencatan senjata telah dilanggar oleh pihak Israel," katanya.
Beliau berpendapat, gencatan senjata itu diumumkan untuk membolehkan tebusan Israel dibebaskan sementara mereka meneruskan serangan ke atas rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Namun begitu, beliau berkata dalam tempoh dua hari lepas masyarakat antarabangsa berjaya menghantar bantuan kemanusiaan, termasuk makanan, khemah dan tempat perlindungan kepada rakyat Palestin yang memerlukan.
-- BERNAMA