Skip to main content

Dunia

Lembaga Pengarah Kennedy Center lulus cadangan letak nama Trump pada bangunan

41770005654_kennedy.jpg
Pihak Kennedy Center belum memberikan sebarang komen berhubung keputusan itu. - Foto fail/AP
Advertisement

WASHINGTON: Lembaga Pengarah Kennedy Center di Washington, D.C., meluluskan cadangan untuk meletakkan nama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada fasad pusat seni persembahan berkenaan, hanya dua bulan selepas mahkamah mengarahkan nama beliau dikeluarkan daripada bangunan itu.

Menurut Ahli Kongres Demokrat, Joyce Beatty, yang turut menganggotai lembaga pengarah pusat berkenaan, majoriti ahli lembaga yang terdiri daripada sekutu Trump mengundi pada Khamis untuk menambah frasa “Restored and Renovated By President Donald J. Trump” pada nama rasmi institusi tersebut.

Beatty menyifatkan langkah itu sebagai usaha jelas untuk mengelak keputusan mahkamah serta bertentangan dengan peruntukan undang-undang yang diluluskan Kongres.

“Saya akan terus mempertahankan monumen kebangsaan yang amat bernilai ini,” katanya dalam satu kenyataan.

BBC melaporkan bahawa pihak Kennedy Center belum memberikan sebarang komen berhubung keputusan itu.

Sementara itu, jurucakap White House, Liz Huston, berkata di bawah kepimpinan Trump, Kennedy Center sedang menuju ke arah menjadi institusi kebudayaan terbaik di dunia.

“Di bawah kepimpinan berani Presiden Trump, Kennedy Center sedang berada di landasan untuk menjadi institusi kebudayaan paling unggul di mana-mana sahaja di dunia,” katanya.

Dalam mesyuarat yang sama, lembaga pengarah turut meluluskan rancangan menutup Kennedy Center selama dua tahun bagi membolehkan kerja pengubahsuaian dijalankan. Cadangan itu sebelum ini disekat oleh seorang hakim persekutuan.

Pada akhir Mei lalu, Hakim Daerah AS, Christopher Cooper, memutuskan bahawa penambahan nama Trump pada bangunan di pusat bandar Washington dilakukan secara tidak sah kerana sebarang pertukaran nama memerlukan kelulusan Kongres.

Susulan keputusan itu, nama Trump ditanggalkan daripada bangunan tersebut bulan lalu walaupun pentadbiran Trump cuba mendapatkan penangguhan pada saat akhir.

Bagaimanapun, mahkamah rayuan enggan campur tangan serta-merta, sekali gus membenarkan arahan penyingkiran nama itu diteruskan sementara hujahan lanjut dikemukakan.

Pentadbiran Trump sebelum ini berhujah bahawa perubahan nama pusat itu boleh menimbulkan kekeliruan sekiranya keputusan mahkamah dibatalkan pada masa hadapan.

Pertikaian berkenaan timbul susulan isu lebih besar berkaitan penjenamaan semula institusi kebudayaan itu, yang menurut undang-undang AS ditetapkan sebagai memorial kepada Presiden John F. Kennedy.

Trump mengumumkan penambahan namanya pada institusi tersebut sebagai sebahagian daripada beberapa usaha penjenamaan semula di ibu negara AS tahun lalu.

Pada Februari 2025, beliau menggantikan beberapa pemegang amanah dalam lembaga pengarah Kennedy Center, melantik dirinya sebagai pemegang amanah sebelum dipilih sebagai pengerusi pusat seni berkenaan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement