Skip to main content

Dunia

Maduro mohon mahkamah AS gugurkan pertuduhan, dakwa kebal sebagai ketua negara

71767562333_TBNicolasMaduro.jpg
Maduro mohon mahkamah AS gugurkan pertuduhan dadah terhadapnya dengan alasan beliau kebal sebagai ketua negara. - Foto fail/AP
Advertisement

NEW YORK: Presiden Venezuela yang digulingkan, Nicolas Maduro, memohon kepada mahkamah Amerika Syarikat (AS) untuk menggugurkan pertuduhan pengedaran dadah terhadapnya dengan alasan beliau mempunyai kekebalan daripada pendakwaan sebagai ketua sebuah negara berdaulat.

Maduro, yang ditahan di sebuah penjara persekutuan di Brooklyn sejak ditangkap oleh tentera AS dalam serbuan di Caracas pada 3 Jan lalu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan Manhattan.

Jika usahanya untuk menggugurkan kes gagal, perbicaraan dijadual bermula pada 1 Jun 2027.

Peguam beliau, Barry Pollack, mengemukakan permohonan itu kepada Hakim Daerah AS, Alvin Hellerstein, pada Rabu, dengan hujah bahawa ketua negara yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan sepenuhnya daripada bidang kuasa jenayah negara asing.

Menurut Pollack, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendakwa Maduro kerana tindakan yang menjadi asas pertuduhan itu didakwa dilakukan dalam kapasiti rasmi sebagai ketua negara.

Beliau juga menegaskan anak guamnya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dikenakan.

Bagaimanapun, pakar perundangan berpandangan Maduro berdepan cabaran besar dalam usaha tersebut.

Washington tidak mengiktiraf beliau sebagai presiden Venezuela sejak 2019, selepas mendakwa pilihan raya yang membawanya kembali ke tampuk kuasa tidak sah.

Mahkamah AS lazimnya mengambil kira pendirian rasmi kerajaan AS dalam menentukan pengiktirafan terhadap pemimpin asing.

AS turut mendakwa pemilihan semula Maduro pada 2024 tidak telus, namun beliau berulang kali menegaskan bahawa kedua-dua pilihan raya itu berlangsung secara adil dan sah.

Maduro juga menuduh Washington cuba menyingkirkannya bagi mendapatkan pengaruh ke atas kekayaan minyak Venezuela.

Sejak penangkapannya, Venezuela ditadbir oleh Naib Presiden Delcy Rodriguez, yang dilaporkan memperkukuh kerjasama dengan pentadbiran Presiden Donald Trump.

Bulan lalu, kedua-dua negara mencapai perjanjian yang membolehkan AS mengambil alih kira-kira satu perlima daripada rizab minyak Venezuela.

Pihak pendakwa raya diberi tempoh sehingga 2 Okt untuk menjawab permohonan Maduro, manakala mahkamah menetapkan 17 Nov bagi pendengaran berkaitan usaha menggugurkan pertuduhan itu.

 

Must Watch Video

Advertisement