Skip to main content

Dunia

Mahkamah Agung AS benar Trump teruskan pembinaan ballroom White House bernilai AS$400 juta

Construction continues on a helipad, left, on the South Lawn of the White House and and the new White House ballroom, right, as seen from the Washington Monument in Washington, Friday, Aug. 28, 2026. (AP Photo/J. Scott Applewhite)
Imej menunjukkan kerja-kerja pembinaan ballroom baharu di White House, Washington diteruskan. - Gambar AP
Advertisement

WASHINGTON: Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membenarkan Presiden Donald Trump meneruskan pembinaan ballroom (dewan acara) baharu di White House bernilai AS$400 juta (kira-kira RM1.6 bilion), sekali gus meningkatkan kemungkinan projek kontroversi itu dapat disiapkan seperti dirancang.

Dalam keputusan 5-4, mahkamah membenarkan permohonan pentadbiran Trump untuk menyekat perintah mahkamah rendah yang sebelum ini mengarahkan kerja-kerja pembinaan bahagian atas tanah dihentikan sementara menunggu penyelesaian saman yang difailkan sebuah kumpulan pemeliharaan warisan.

Trump sebelum ini merobohkan East Wing yang bersejarah di White House tahun lalu bagi memberi laluan kepada pembinaan dewan acara tersebut, yang kerap disifatkannya sebagai "hadiah" kepada rakyat Amerika.

Keputusan Mahkamah Agung pada Isnin itu hadir selepas Ketua Hakim Negara, John Roberts, sebelum ini mengeluarkan perintah sementara yang membolehkan kerja pembinaan diteruskan.

Bagaimanapun, Roberts akhirnya menyertai tiga hakim liberal mahkamah itu dalam menyuarakan bantahan terhadap keputusan majoriti dan menyifatkan projek pembinaan berkenaan sebagai "berkemungkinan menyalahi undang-undang."

Keputusan tersebut dilihat berpotensi merealisasikan cita-cita Trump untuk mengubah wajah ibu negara AS mengikut visinya sendiri.

Sejak kembali memegang jawatan, Trump mengarahkan beberapa projek pembangunan dan pengubahsuaian berskala besar di Washington, termasuk mengubah suai kolam pantulan di National Mall, mencadangkan projek baik pulih Kennedy Center bernilai AS$250 juta yang akan memaparkan namanya pada bangunan tersebut, selain merancang menaik taraf sebuah padang golf dan membina gerbang monumental bersaiz besar.

Walaupun beberapa projek itu berdepan halangan undang-undang, termasuk arahan mahkamah supaya nama Trump ditanggalkan daripada Kennedy Center, keputusan Mahkamah Agung kali ini dianggap satu kemenangan besar buat Presiden berkenaan.

Trump meraikan keputusan tersebut menerusi hantaran di platform Truth Social dengan mendakwa kompleks White House yang baharu itu akan menjadi "antara yang terhebat pernah dibina di Washington DC."

Beliau turut memaklumkan, pembinaan dijangka siap menjelang musim panas 2028.

Dalam penghakiman tanpa nama, lima hakim konservatif berpendapat, National Trust for Historic Preservation in the United States tidak mempunyai kedudukan undang-undang yang mencukupi untuk memfailkan saman terhadap projek tersebut.

Kumpulan itu berhujah melalui keterangan salah seorang ahli lembaganya, sejarawan seni bina Alison Hoagland yang mendakwa ballroom berkenaan merupakan satu penghinaan terhadap nilai estetika, budaya dan sejarah White House.

Hoagland juga berkata, beliau akan mengalami kerugian dari segi nilai sejarah dan seni bina apabila melihat bangunan itu siap dibina.

Namun, majoriti hakim menolak hujah tersebut.

"Kerajaan berkemungkinan akan berjaya membuktikan bahawa badan amanah itu tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mencabar projek East Wing," menurut keputusan mahkamah.

Mahkamah turut menegaskan bahawa rasa tersinggung, tidak bersetuju atau tidak menyukai sesuatu projek semata-mata tidak boleh dianggap sebagai kecederaan undang-undang yang membolehkan tindakan saman difailkan.

Selain itu, majoriti hakim berpendapat kerajaan akan mengalami "kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki" sekiranya pembinaan dihentikan atau dibenarkan diteruskan hanya pada bahagian kemudahan ketenteraan bawah tanah yang dirancang di bawah dewan tari tersebut.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang keputusan mengenai persoalan utama sama ada tindakan Trump merobohkan sebahagian bangunan White House itu sah di sisi undang-undang.

"Hari ini, kami tidak memutuskan mengenai kesahihan projek East Wing kerajaan," menurut keputusan itu.

Sementara itu, Roberts bersama Hakim Elena Kagan, Sonia Sotomayor dan Ketanji Brown Jackson yang dilantik pentadbiran Demokrat berpandangan, projek tersebut tidak sah kerana tidak mendapat kelulusan Kongres.

Dalam pendapat bantahannya, Roberts berkata, projek berkenaan berpotensi mencabuli kuasa Kongres dalam mengawal perbelanjaan awam serta mengawal selia harta persekutuan di Washington DC.

Beliau turut menyifatkan keputusan majoriti itu sebagai "bukan kemenangan kepada prinsip pengasingan kuasa."

"Ballroom itu merupakan sebuah struktur yang sedang dibina di atas tanah taman persekutuan, iaitu President's Park di Washington DC. 

"Namun Kongres tidak pernah meluluskan sebarang undang-undang yang memberikan kuasa jelas kepada cabang eksekutif untuk membinanya," tulis Roberts.

Beliau turut menolak hujah majoriti bahawa kesan terhadap Hoagland tidak mencukupi untuk membolehkan saman difailkan.

Menurutnya, Hoagland mempunyai komitmen mendalam terhadap pemuliharaan bangunan bersejarah Amerika melalui penglibatannya dalam organisasi tersebut.

"Kerugian yang ditanggung Hoagland adalah mencukupi untuk memberikan kedudukan undang-undang," kata Roberts.

Beliau membandingkan keadaan itu dengan seorang aktivis alam sekitar yang mengalami kesan estetik dan peribadi apabila spesies haiwan tertentu pupus atau apabila hutan dan sungai yang sering dinikmatinya mengalami perubahan besar. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement