MANAMA (BAHRAIN): Malaysia akan terus bersuara memperjuangkan isu rakyat dan Palestin yang sedang berdepan kezaliman dan kekejaman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Malaysia adalah sebuah negara bebas dan berdaulat, serta boleh menyatakan pendirian di mana-mana sahaja.

"Kita punyai pendirian dan ini sudah kita suarakan dengan tegas di merata tempat. Kita bukan memilih untuk memusuhi sesiapa tetapi mana sahaja bentuk kezaliman dan kekejaman, (mereka yang dizalimi) harus kita bela dan perjuangkan," katanya.

Anwar berkata demikian dalam sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Bahrain atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa dan akan berlepas pulang ke ibu negara, 5 petang waktu tempatan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan terdapat dakwaan kononnya Anwar dinasihatkan supaya tidak terlalu tegas berhubung isu Hamas dan Israel bagi mengelakkan tindak balas daripada Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri berkata usaha Malaysia membantu pihak terkesan akibat kezaliman bukan perkara baharu malah digerakkan sejak sekian lama termasuk ketika perang Bosnia dan era apartheid di Afrika Selatan.

"Jadi dalam isu Palestin, dibanding dengan semua ini, sudah mengalami kehancuran sedemikian rupa dan sebab itu kita beritahu kepada sahabat kita di negara Teluk, dunia Arab dan Islam, kita harus berikan (bantuan), malah yang kita berikan itu, bagi saya agak terlalu kecil.

"Jadi mungkin dalam beberapa hari ini, apabila ada acara untuk Palestin, saya mahu rakyat bersama memberikan pandangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengenai dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing berjumpa dengan beliau, Anwar berkata perkara itu tidak pernah berlaku.

"Jangan dilayan sangat, sebab pertamanya, pemimpin luar mana nak jumpa dia? Kalau nak jumpa pun apa masalahnya, kalau kawan dia dulu, nak kenal, nak jumpa...tak ada (masalah).

"Yang baru-baru ini pemimpin Thailand, Jepun, Indonesia, Turkiye, tak ada yang minta nak jumpa, kalau minta, tak akan saya nak kata jangan. Jumpalah, apa salahnya?," kata Anwar.

Anwar berkata dakwaan dibuat Dr Mahathir itu tidak seharusnya dipertimbangkan dan dilayan.

"Hari-hari dia buat dakwaan, saya (Dr Mahathir) mana ada duit, (tapi) anak dia RM1 bilion lebih, itu bukan pertuduhan, itu pengakuan," katanya.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, sebelum ini dilaporkan berkata dua anak Dr Mahathir memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion.

-- BERNAMA