Skip to main content

Dunia

Malaysia zahir solidariti bersama Poland susulan tragedi tembakan

Dalam kejadian petang Sabtu, seorang lelaki bersenjata yang dilaporkan dipengaruhi ideologi berhaluan kanan ekstrem membunuh enam individu termasuk seorang warga Britain, selain mencederakan ramai lagi di Kraków, bandar kedua terbesar di Poland. -Foto AP
Dalam kejadian petang Sabtu, seorang lelaki bersenjata yang dilaporkan dipengaruhi ideologi berhaluan kanan ekstrem membunuh enam individu termasuk seorang warga Britain, selain mencederakan ramai lagi di Kraków, bandar kedua terbesar di Poland. -Foto AP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Poland susulan insiden tembakan rambang di Kraków yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan sekurang-kurangnya 15 individu pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi amat menyedihkan selain menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Beliau turut mendoakan agar semua mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera.

Advertisement

Menurut Anwar, laporan awal yang mengaitkan suspek dengan fahaman pelampau kanan merupakan perkembangan yang amat membimbangkan dan memerlukan perhatian masyarakat antarabangsa.

Tegas beliau, tragedi berkenaan memperlihatkan keperluan untuk menangani segala bentuk keganasan dan ekstremisme, termasuk ancaman keganasan berasaskan ideologi pelampau kanan.

Advertisement

"Tiada ideologi yang boleh menghalalkan pembunuhan orang awam tidak berdosa," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Ahad.

 

 

Anwar turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dalam usaha membanteras keganasan serta mempertahankan keamanan dan maruah kemanusiaan.

Dalam kejadian pada Sabtu, seorang lelaki berusia 25 tahun dilaporkan memandu kenderaan ke Main Market Square (Dataran Pasar Utama) di pusat bandar bersejarah Kraków sebelum melepaskan tembakan secara rambang ke arah orang awam.

Menteri Dalam Negeri Poland, Marcin Kierwiński, berkata siasatan awal mendapati suspek mempunyai pandangan radikal serta kecenderungan terhadap ideologi pelampau kanan dan fahaman ultranasionalis.

 

Must Watch Video

Advertisement