ISTANBUL: Keadaan pernafasan Pope Francis dilaporkan semakin merosot selepas mengalami serangan bronkospasme, menurut kenyataan Vatican pada Jumaat.

Menurut Pejabat Akhbar Holy See yang dipetik Anadolu Ajansi, Pope mengalami serangan bronkospasme selepas menjalani fisioterapi pernafasan dan berdoa di gereja.

"Keadaan ini menyebabkan beliau muntah dan sebahagian daripadanya termasuk ke dalam paru-paru, yang seterusnya memburukkan lagi masalah pernafasannya," menurut kenyataan itu.

Doktor segera menjalankan prosedur "bronchial aspiration" bagi membersihkan saluran pernafasannya serta menggunakan ventilasi mekanikal bukan invasif, yang membantu meningkatkan tahap oksigennya.

Sepanjang rawatan, Pope Francis kekal sedar dan memberikan kerjasama terhadap prosedur perubatan yang dijalankan.

Beliau yang kini berusia 88 tahun, telah menerima rawatan di Hospital Gemelli, Rom sejak 14 Februari lalu akibat radang paru-paru.

Paus Francis dilantik sebagai pengganti Paus Benedict XVI pada 13 Mac 2013 ketika berusia 76 tahun.

-- BERNAMA