ROM: Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mendaftarkan rakaman audio suaranya dengan Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah (EUIPO), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Akhbar La Repubblica melaporkan pada Isnin bahawa langkah itu bertujuan melindungi Meloni daripada rakaman suara palsu yang dihasilkan oleh sistem kecerdasan buatan (AI).
Meloni dilaporkan mendaftarkan frasa “Io sono Giorgia Meloni” (“Saya Giorgia Meloni”) sebagai tanda dagangan linguistik. Menurut La Repubblica, rakaman suara itu hanya berdurasi empat saat.
Akhbar itu menulis bahawa frasa berkenaan mengingatkan kepada kenyataan “Saya Giorgia, saya seorang wanita, saya seorang ibu, saya orang Itali, saya seorang Kristian”, yang selama ini menjadi semacam tanda pengenalan tidak rasmi Meloni.
Imej Meloni yang dijana AI muncul beberapa bulan lepas, mendorong beliau menggesa orang ramai supaya bertindak secara bertanggungjawab.
Beliau menulis di platform media sosial X ketika itu bahawa pelbagai imej palsu dirinya sedang tersebar dan disifatkan sebagai tulen oleh “seorang penentang yang terlalu bersemangat”.
“Deepfake ialah alat yang berbahaya,” katanya sambil memberi amaran bahawa teknologi itu boleh memperdaya, memanipulasi dan memudaratkan sesiapa sahaja.
Beliau berkata dirinya mampu mempertahankan diri, namun ramai lagi yang tidak mampu berbuat demikian. Apa yang berlaku kepadanya hari ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja pada masa akan datang, katanya.
-- BERNAMA-dpa